PETALING JAYA : Hampir seluruh negara khususnya Lembah Klang dijangka mengalami hujan lebat sepanjang hari ini.
Menurut portal ramalan kaji cuaca Jabatan Meteorologi, https://www.met.gov.my/nowcasting, keadaan itu dijangka berterusan sehingga pukul 1 petang ni.
Misalnya negeri Selangor, hampir seluruh daerah seperti Bangi, Petaling Jaya dan Shah Alam bakal mengalami hujan sepanjang hari ini.
Keadaan sama juga berlaku di Kuala Lumpur dan Putrajaya.
Dalam pada itu, Jabatan Meteorologi pada pukul 1 pagi mengeluarkan amaran buruk hujan lebat membabitkan tujuh negeri iaitu Pahang, Perak, Kelantan, Terengganu, Kuala Lumpur, Putrajaya dan Negeri Sembilan.
Sejak semalam, hujan lebat tidak henti yang melanda Lembah Klang menyebabkan beberapa kawasan dilanda banjir sehingga menyebabkan para penduduk dipindahkan ke Pusat Penempatan Sementara (PPS).
Keadaan itu menyebabkan seramai 113 individu ditempatkan di tiga PPS di Klang setakat pukul 10 malam semalam susulan banjir kilat yang melanda beberapa kawasan di daerah itu. -UTUSAN ONLINE