KUALA LUMPUR : Pelakon dan pengacara terkenal, Mira Filzah, 28, terus meninggalkan peminat dan pengikutnya dengan teka-teki berhubung soal kehamilan.
Tidak mengiya atau menidakkan, pelakon tersebut bagaimanapun berjanji akan berkongsi dan mengumumkan berita gembira tersebut pada waktu yang tepat sekiranya sudah bersedia.
“Setiap pasangan yang berkahwin pastilah menginginkan zuriat. Gosip mengenai kehamilan sebelum ini pun pernah bertebaran apabila ada yang tengok baju yang saya pakai dan muat naik di media sosial, dari sisi kononnya nampak macam saya sedang mengandung.
“Biasalah, peminat mestilah mengharap untuk terima berita gembira ini.
“Tapi apa-apa, saya akan beritahu pada semua. Saya tak akan sorok, “katanya.
Mira berkata demikian semasa ditemui di majlis pelancaran model baharu telefon pintar Vivo V23e di Hotel Majestic, di ibu kota.
Selain itu, Mira mengaku tidak
berkecil hati dengan spekulasi yang dibuat oleh peminat berhubung perkara kehamilan itu.
Katanya, dari sisi positif, dia melihat semua itu adalah satu perkara yang baik dan itu juga adalah doa-doa daripada
peminat-peminatnya.
“Tak tersinggung pun. Peminat nak tahu perkembangan ini. Saya faham,” katanya.
Dalam pada itu, Mira juga berkongsi sudah merancang untuk bercuti di Eropah selama sebulan bagi berbulan madu dan berehat bersama suaminya, Wan Emir Astar, 31, bermula pada minggu hadapan.
“Semenjak berkahwin kami memang tak sempat lagi bercuti bersama. Jadi ini adalah peluang terbaik untuk kami bercuti sebab sempadan negara sudah dibuka.
“Lagipun sampai bila nak tunggu Covid-19 nak berakhir? Jadi kita teruskan saja hasrat ini sambil kekal menjaga kesihatan kendiri dan prosedur operasi standard (SOP),”katanya.
Untuk info, Mira dan Emir bernikah pada 3 September 2020.