Gesaan PRU awal, BN tidak boleh ingkari CSR  - Utusan Malaysia

Gesaan PRU awal, BN tidak boleh ingkari CSR 

ZAHIDI ZAINUL ABIDIN (tengah) menaiki beca ketika menyertai menyertai Festival Peranakan Penang dan meninjau pameran Jawi Peranakan Pulau Pinang dan pameran Vintaj dan Batik Peranakan di Georgetown hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Barisan Nasional (BN) tidak boleh dilihat terlalu ghairah untuk mengadakan pilihan raya umum (PRU) dalam tempoh terdekat apatah lagi selepas parti itu turut bersama-sama menandatangani memorandum persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik (CSR) antara kerajaan dan pembangkang. 

Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata, CSR itu secara jelas bertujuan supaya negara dapat ditadbir ke arah meningkatkan semula ekonomi dan menjaga kebajikan rakyat yang terjejas akibat pandemik Covid-19 tanpa dipengaruhi amalan ‘politiking’ sekurang-kurangnya sehingga Julai tahun depan. 

Sehubungan itu, menurut beliau yang juga Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, BN tidak boleh mengingkari semangat CSR  yang dibimbangi bakal memberi tanggapan negatif dari sudut kepercayaan rakyat terhadap parti tersebut. 

“Tujuan kita (BN) memanggil parti pembangkang untuk menandatangani CSR adalah supaya kerjasama politik dapat ditingkatkan bagi memberi tumpuan membantu kebajikan rakyat, mengatasi masalah pandemik dan meningkatkan ekonomi negara. 

“Jadi tidak bolehlah apabila kita melihat  BN kembali mendapat sokongan rakyat ketika ini dan ada peluang untuk menang besar jika PRU diadakan, maka kita mahu mengingkari perjanjian CSR itu,” katanya selepas menyertai Festival Peranakan Penang di sini hari ini. 

Zahidi ditanya mengenai desakan beberapa pihak di dalam BN khususnya UMNO supaya Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) diadakan segera susulan kemenangan besar parti itu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka sebelum ini dan Sarawak semalam. 

Mengulas lanjut Zahidi berkata, mengingkari CSR dengan mengadakan PRU awal juga akan menyebabkan rakyat menilai BN tidak ubah seperti Pakatan Harapan (PH) yang tidak mengotakan janji dan manifesto mereka ketika pilihan raya umum lalu. 

“Kita (BN) tidak boleh ubah apa-apa perjanjian atau manifesto, nanti rakyat tidak percaya, jadi apabila tiba masanya iaitu Julai nanti baru kita bincang berkenaan PRU,” katanya. 

Dalam pada itu, ditanya mengenai majoriti usul Mesyuarat Bahagian UMNO semalam yang menyokong Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sebagai Presiden parti dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri, beliau berkata, perkara tersebut menunjukkan kesepaduan dalam kalangan akar umbi UMNO. 

“Ini menunjukkan kepada rakyat yang UMNO tidak berpecah dan bersatu yang mana Presiden buat kerja sebagai Presiden dan Perdana Menteri buat kerja sebagai Perdana Menteri dan kita tidak mahu ada ‘politiking’ antara Presiden UMNO dan Perdana Menteri,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya