KUALA LANGAT: Kira-kira tiga atau empat tahun lalu, penternak, Shahrizaini Karimun, 37, pernah berdepan ujian berat apabila kira-kira 150 ekor lembu di kandangnya hilang dicuri pihak tidak bertanggungjawab ketika umat Islam mahu menyambut Aidiladha.
Kali ini, episod kesedihan itu berulang apabila kandang lembunya di Kampung Rancangan Tanah Belia (RTB) Bukit Changgang di sini, dinaiki air sehingga menyebabkan 10 ekor haiwan tersebut mati.
Akibat bencana itu, dia kerugian kira-kira kira-kira RM50,000 kerana tidak dapat menyelamatkan sebahagian haiwan ternakannya itu kerana terendam lama di dalam air.
“Saya tahan air mata daripada menangis,” luahnya ketika menceritakan semula ujian dihadapinya itu sewaktu kejadian banjir pada 18 Disember lalu.
Bapa kepada empat anak itu berkata, ketika kejadian, dia sempat menyelamatkan separuh daripada 80 ekor lembu tersebut menggunakan lori serta dipindahkan ke kandang milik rakannya di Banting.
“Kejadian tersebut kira-kira pukul 5 petang dan air sangat laju. Jadi, ada dalam 40 lembu tidak dapat dikeluarkan dan saya juga tidak boleh masuk ke kandang untuk menyelamatkan baki haiwan ternakan.
“Pada hari Isnin (20 Disember), saya minta bantuan budak-budak di sini menaiki bot untuk ke kandang. Sebaik sampai, saya sangat sebak selepas melihat keadaan lembu yang tidak boleh makan dan air ketika itu setinggi enam kaki,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Shahrizaini berkata, lembu-lembu yang tidak dapat diselamatkan itu terendam di dalam air, manakala, kira-kira 20 kambing pula tidak menghadapi masalah berikutan kandangnya lebih tinggi serta tidak terjejas banjir.
“Lebih kurang tujuh hari lembu-lembu itu terendam di dalam air dan selepas air surut, 10 daripada lembu tersebut mati. Boleh jadi ia kesejukan atau kekejangan.
“Baki lembu yang terendam serta dapat diselamatkan pula mengalami kecederaan seperti kulit mengelupas dan sakit mata. Ia boleh sembuh tetapi akan mengambil masa selain lembu itu menghadapi tekanan dan kurang makan,” katanya.
Dalam pada itu, dia berkata, kos kerugian yang dianggarkan turut melibatkan makanan dedak yang rosak akibat banjir selain mesin pemotong yang perlu dibaiki semula.
“Alhamdulillah, ada hamba Allah sudi membantu dengan memberikan mesin pemotong. Mesin ini penting untuk memotong kelapa sawit atau tumbuhan bagi makanan haiwan ternakan kerana saya tidak bergantung kepada dedak semata-mata ekoran harganya sangat mahal.
“Selain itu, pihak Jabatan Perkhidmatan Veterinar serta Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee ada melawat ke kandang di sini dan saya luahkan permasalahan dihadapi susulan banjir ini,” ujarnya.
Tambahnya, penternakan lembu dan kambing tersebut menggunakan modal titik peluhnya sendiri dan walaupun pahit menghadapi ujian itu, dia menerimanya dengan hati yang reda kerana yakin rezeki lebih baik daripada Allah SWT. -UTUSAN ONLINE