Dua pegawai JKR Mersing didakwa terima rasuah - Utusan Malaysia

Dua pegawai JKR Mersing didakwa terima rasuah

MOHD. Idham Mokhtar (kiri) dan Mohd. Sukrizal Mohd. Shukor (tengah) yang bertugas di JKR Mersing didakwa atas kesalahan rasuah bernilai keseluruhan RM14,000, di Mahkamah Sesyen di Johor Bahru, Johor. -UTUSAN/KHAIRUL MOHD ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Dua pegawai Jabatan Kerja Raya (JKR) Mersing mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini atas pertuduhan menerima rasuah sebanyak  RM14,000, dua tahun lalu. 

Mohd. Idham Mokhtar, 38, dan Mohd. Sukrizal Mohd. Shukor, 44, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Mohd. Idham, seorang jurutera didakwa menerima wang berjumlah RM9,000 menerusi akaun Maybank dengan tiada balasan daripada seorang individu berusia 44 tahun melalui akaun bank milik syarikat individu berkenaan.

Kesalahan itu dilakukan tertuduh di Maybank Islamic Berhad, Jalan Ismail, Mersing, pada 19 November 2019.

Mohd. Sukrizal berjawatan Penolong Juruukur Bahan pula didakwa menerima wang berjumlah RM5,000 menerusi akaun Maybank dengan tiada balasan daripada individu sama melalui akaun bank milik syarikat individu berkenaan.

Mereka didakwa menerima wang berkenaan dengan sedar ada hubungan dengan tugas rasmi selaku Urusetia Jawatankuasa bagi kerja pembaikan lantai bangunan di Sekolah Kebangsaan (SK) Lembaga Endau, selain kerja pembaikan dinding dan lantai akibat mendapan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Anjung Batu. 

Kerja pembaikan itu turut meliputi pembaikan bumbung dan siling bagi empat blok bangunan di SMK Ungku Hussin, selain kerja pembaikan bumbung serta kerja berkaitan di SK Triang, Mersing.

Kesalahan tersebut dilakukan di Maybank Islamic Berhad, Pusat Perdagangan, Jalan Bandar, Pasir Gudang, pada 28 Disember 2019.

Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Suhaili Sapun manakala tertuduh diwakili peguam, Rosli Kamaruddin, Zahir Rosli dan Zaim Rosli.

Mahkamah memerintahkan kedua-dua tertuduh dijamin sebanyak RM7,000 dengan seorang penjamin dan tarikh sebutan semula kes ditetapkan pada 31 Januari tahun depan.- UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN