PUTRAJAYA: Sarawak melaporkan trend penurunan kes positif Covid-19 sejak dua bulan lalu hasil pemberian dos penggalak yang dimulakan lebih awal di negeri itu sejak 13 Oktober lalu.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, penurunan itu dikesan sejak minggu epidemiologi (ME) ke-48 dengan bilangan kes yang dilaporkan kurang seribu seminggu iaitu 776 kes berbanding bilangan kes pada ME ke-52 iaitu sejumlah 208 kes.
“Selain itu, angka kematian akibat Covid-19 juga menunjukkan penurunan daripada 497 kes pada bulan Oktober kepada 24 kes pada Disember 2021 (sehingga 28 Disember 2021).
“Kes yang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) juga menunjukkan penurunan yang ketara di mana ebanyak 99 kes dirawat di ICU pada 5 November lalu berbanding hanya 11 kes di ICU pada 26 Disember lalu,” katanya pada sidang akhbar hari ini.
Katanya, buat masa ini, tiada peningkatan kes Covid-19 berikutan PRU DUN Sarawak ke-12.
Khairy berkata, pemberian dos penggalak dio Sarawak dimulakan lebih awal sebagai langkah persediaan menghadapi pilihan raya negeri (PRN).- UTUSAN