PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan sedia bekerjasama dengan pelbagai badan sukan tempatan untuk mencungkil bakat baharu dalam kalangan murid yang berpotensi besar.
Hasrat tersebut disuarakan Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin dalam usaha mengetengahkan ramai pelapis pelbagai jenis sukan yang terpendam di seluruh negara.
“Insya-Allah, kami juga mahu menjalin kerjasama dengan Kementerian Belia dan Sukan serta Kementerian Pengajian Tinggi agar diperbanyakkan program pencarian bakat,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Kejohanan Badminton Tertutup Komuniti Putrajaya 2021 di dewan Kompleks Kejiranan Presint 11, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Radzi berkata, usaha kementerian itu tidak sekadar melibatkan pelajar di beberapa sekolah sukan semata-mata, malah meliputi semua institusi pendidikan negara ini.
“Saya teringat ketika menetap di Australia sebelum ini, setiap hujung minggu, ibu bapa akan bawa anak ke sekolah bagi terlibat aktiviti sukan bersama guru dan isi masa lapang,” katanya.
Amalan positif ini terbukti apabila negara itu walaupun jumlah penduduknya seperti Malaysia, namun berjaya melahirkan ramai atlet pingat emas di Temasya Olimpik dan kejohanan dunia.
Pendekatan itu ujarnya, kemungkinan besar sesuai dilaksanakan di negara ini bagi menerap budaya bersukan yang aktif sejak kecil dan tidak sahaja fokus isu kecemerlangan akademik.
Kegiatan bersukan tambahnya, turut sejajar dengan konsep Sekolahku Sejahtera yang akan diperkenalkan kementerian menerusi 14 elemen penerapan nilai murni secara semula jadi.
Langkah itu sebagai tambahan kepada inisiatif sebelum ini yang dikenali sebagai Sekolahku Syurgaku dan wujud sejak puluhan tahun lalu bagi menyemai perasaan sayang bersekolah.
“Saya memberi jaminan, konsep baharu ini pula tidak akan dijadikan sebagai mata pelajaran baharu sebaliknya diserapkan guru dalam semua subjek untuk pemahaman murid,” katanya. – UTUSAN