PETALING JAYA: Pelaksanaan duti eksais oleh kerajaan ke atas produk cecair atau gel bernikotin adalah langkah terbaik kepada semua pihak terutama dalam usaha mengawal selia penjualan produk berkenaan.
Walaupun ada yang berpendapat ia tinggi, namun pelaksanaannya merupakan satu usaha untuk memastikan industri vape diusahakan secara selamat, tidak memudaratkan masyarakat dan menyumbang kepada pendapatan negara.
Menurut Pengarah Nanostix Innovations Sdn. Bhd., Shahabudeen Jalil Kamarul Jaman walaupun mengakui cukai yang dikenakan pada kadar RM 1.20 untuk per mililiter (ml) agak tinggi namun dia yakin ini adalah yang terbaik untuk semua pihak.
“Bagi pendapat peribadi saya mana-mana cukai juga membebankan namun kita perlu ambil kira dari segi kerajaan yang sudah hilang cukai dari rokok. Jadi pada saya , cukai yang dikenakan ini sangat berpatutan dan okey sebenarnya.
“Selain itu juga saya melihat ini sebagai satu kemenangan kepada semua pihak. Pada kerajaan tentunya ini salah satu pendapatan negara selain lebih senang untuk menstruktur dan mengawal selia. Bagi pengusaha seperti saya, kami lebih bebas berniaga dan kepada pelanggan pula mereka akan mendapat produk yang lebih selamat memandangkan pihak kami wajib mendedahkan setiap kandungan bahan-bahan yang digunakan,”katanya kepada Utusan Malaysia.
Nanostix Innovations yang menguasai 20 peratus industri rokok elektronik negara membuat pembayaran cukai pendapatan sebanyak RM42 juta bagi tempoh 2018 sehingga 2020, atau kira-kira RM 12 juta setahun.
Bermula bulan ini, syarikat berkenaan akan menyumbang duti eksais kepada kerajaan kira-kira RM100 juta bagi tempoh setahun.
Susulan itu, jumlah pembayaran cukai pendapatan Nanostix Innovations akan berlaku pengurangan, bagaimanapun kadar cukai jualan akan berlaku peningkatan.
Mengulas lanjut, Shahabudeen tidak menolak akan berlakunya peningkatan harga pada setiap produk yang dijual selepas pelaksanaan cukai ini dikuatkuasakan.
Tambahnya menjadi strategi Nanostix Innovations untuk sentiasa memberikan produk yang berbaloi buat pelangganya.
“Secara asasnya, setiap produk kami akan dikenakan cukai sebanyak RM15 bagi setiap kotak perisa. Namun begitu, hanya akan berlaku peningkatan harga sebanyak RM5 sahaja dipihak pengguna dan selebihnya akan diserap oleh syarikat.”
“Majoriti pengusaha memang merasakan cukai yang dikenakan ini agak tinggi, tetapi bagi pihak kami sendiri melihat ini berpatutan dan akan sentiasa akur dengan kerajaan,” katanya. – UTUSAN