PETALING JAYA: Kongres Kesatuan Pekerja -Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) memohon kerajaan dan Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) untuk menangguhkan bayaran balik pembiayaan perumahan.
Presidennya, Datuk Adnan Mat berkata, penangguhan itu perlu dipertimbangkan sehingga rumah peminjam siap dibina oleh pemaju atau selepas menerima kunci rumah masing-masing.
Beliau berkata, ketika ini syarat pembiayaan LPPSA menetapkan peminjam perlu membuat bayaran semula pinjaman selepas 24 bulan daripada tarikh kelulusan pinjaman.
“Bagaimanapun, pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) sejak tahun lalu mengakibatkan banyak projek perumahan tergendala dan tidak dapat disiapkan mengikut tarikh yang ditetapkan.
“Perkara itu mengakibatkan ada peminjam yang terpaksa membayar balik pembiayaan mereka walaupun kediaman masih belum disiapkan oleh pemaju ekoran projek yang tidak dapat disiapkan dalam tempoh 24 bulan,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Menurut Adnan, situasi itu mengakibatkan penjawat awam yang membuat pembiayaan LPPSA terpaksa mengeluarkan perbelanjaan berganda iaitu membayar sewa rumah yang sedang didiami ketika ini serta bayaran bulanan penuh pinjaman LPPSA untuk rumah yang masih belum siap.
Katanya, Cuepacs amat berharap LPPSA dapat memahami situasi semasa yang melanda negara kerana banyak kerja-kerja pembinaan tertangguh dan kemajuan pembinaan juga sangat perlahan disebabkan Covid-19.
“Walaupun perkara itu telah terkandung dalam perjanjian, sewajarnya kerajaan dan LPPSA menggunakan budi bicara untuk menyelesaikan permasalahan ini.
“Dalam keadaan ekonomi yang tidak begitu baik, adalah suatu perkara yang sangat memeritkan apabila mereka ini perlu dipotong gaji penuh setiap bulan untuk membayar semula pinjaman.
“Sudahlah tiada moratorium diberikan untuk pinjaman LPPSA, mereka ini dibebani juga terpaksa membayar bayaran penuh rumah yang masih lagi tidak siap.
“Tambahan pula dengan kos barangan yang naik mendadak ketika ini mengakibatkan pengurangan dalam pendapatan boleh guna penjawat awam,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menambah, Cuepacs sekali lagi memohon pertimbangan kerajaan untuk memberikan moratorium pinjaman kepada penjawat awam yang mempunyai pembiayaan perumahan melalui LPPSA.
Katanya, ini kerana alasan bahawa penjawat awam dan pesara masih menerima gaji serta pencen penuh bagi menampung perbelanjaan bulanan tidak wajar digunakan untuk menolak pemberian moratorium pinjaman LPPSA.
“Lihatlah penjawat awam ini dalam konteks isi rumah yang mungkin terkesan dengan pandemik Covid-19 dan bukannya sebagai individu semata-mata.
“Jika faktor individu diambil kira, masih ramai peminjam institusi kewangan lain tidak terjejas tetapi layak mendapat moratorium pinjaman.
“Namun, apabila diukur daripada sudut isi rumah, sudah semestinya perkara ini dipertimbangkan bagi pemberian moratorium.
“Justeru, masih belum terlewat untuk kerajaan melalui LPPSA memberikan moratorium pinjaman sekurang-kurangnya tiga atau enam bulan,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE