KUALA LUMPUR: Kerajaan masih menunggu maklum balas Kerajaan Negeri Selangor berhubung status kemudahan asas di Kampung Melayu Bukit Tarek di Hulu Selangor yang didiami kira-kira 300 penduduk.
Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, keadaan di kampung tersebut perlu dipandang serius dan disegerakan kerana penduduk di situ sudah lama `menderita’.
“Kita tengah tunggu laporan daripada agensi kerajaan negeri mengenai status kampung tersebut. Kampung itu tidak ada bekalan elektrik air, elektrik dan jalan walaupun terletak berdekatan ibu negara.
“Saya difahamkan, ia memang tanah persendirian yang diluluskan suatu masa dahulu oleh kerajaan kepada individu,” kata beliau pada sidang media majlis perasmian Perintis Usanita di ibu negara semalam.
Bulan Utusan Malaysia melaporkan hampir 30 tahun penduduk Kampung Melayu Bukit Tarek belum menikmati kemudahan asas seperti elektrik, air dan jalan raya.
Walaupun kedudukannya berhampiran Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS), kira-kira 300 penduduknya masih melalui kehidupan menggunakan generator, bateri kereta dan panel solar untuk bekalan elektrik sementara air hujan untuk kegunaan harian.
Tinjauan Utusan Malaysia pula mendapati, pemilik lot kebanyakannya membabitkan bekas kakitangan kerajaan seperti anggota polis dan tentera.
Susulan pendedahan itu, Mahdzir sebelum ini menjelaskan satu berita gembira akan diumumkan Perdana Menteri dalam masa terdekat bagi menyelesaikan masalah di Bukit Tarek.
Begitu juga Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man yang sebelum ini turut memaklumkan, pihaknya akan mengambil perhatian bagi menyelesaikan isu-isu di kampung tersebut. – UTUSAN