KUALA LUMPUR: Perbicaraan kes rasuah Lim Guan Eng berhubung pembinaan terowong dasar laut dan projek pembinaan jalan utama di Pulau Pinang, didengar di Mahkamah Sesyen di sini tanpa kehadiran tertuduh kerana beliau masih dirawat di Institut Jantung Negara (IJN).
Hakim Azura Alwi memerintahkan perbicaraan diteruskan hari ini tanpa kehadiran bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu dengan mengguna pakai Seksyen 264 Kanun Tatacara Jenayah (CPC).
Sebelum itu, peguam Gobind Singh Deo yang mewakili Guan Eng memaklumkan, anak guamnya dimasukkan ke IJN sejak Ahad lalu dan menjalani prosedur perubatan semalam.
Ujar peguam bela, tertuduh diberi cuti sakit selama tiga hari sehingga esok.
Gobind berkata, jika perbicaraan diteruskan, mahkamah boleh mendengar dahulu keterangan tiga saksi formal tanpa kehadiran Guan Eng.
Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin meluahkan kekesalannya dengan ketidakhadiran Guan Eng pada prosiding tersebut walhal tiga saksi dari Pulau Pinang hadir dan bersedia memberi keterangan.
Ujarnya, Guan Eng telah mengadakan temu janji dengan doktor di IJN pada 7 Disember lalu dan memilih untuk dimasukkan ke wad pada Ahad sedangkan tertuduh mengetahui perbicaraan telah ditetapkan hingga esok.
Meskipun pihak pendakwaan merakamkan rasa simpati dengan keadaan kesihatannya dan berharap tertuduh segera sembuh, beliau berharap penangguhan kes tidak lagi berulang.
Wan Shaharuddin menyatakan, semua pihak tidak dapat mengelak daripada diserang penyakit, namun Guan Eng perlu bertanggungjawab kerana tertuduh sebelum ini turut mempunyai isu kehadiran di mahkamah termasuk isu kuarantin dan persidangan Parlimen.
Prosiding kemudian disambung dengan mendengar keterangan tiga saksi pendakwaan yang pernah terlibat dengan perjalanan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pulau Pinang (MMKN).
Mereka ialah bekas Setiausaha Sulit Kanan (SUSK) Ketua Menteri, S. Vijayalakchimi; bekas Setiausaha (MMKN), M. Maheswari dan bekas Setiauasaha Sulit Ketua Menteri, Ng Wee Kok.
Pada prosiding itu Vijayalakchimi, 45, memberi keterangan, beberapa perkara telah dibangkitkan pada MMKN pada 30 Januari 2013 antaranya termasuk kelulusan kutipan tol dan isu perkongsian keuntungan jika kutipan melebihi pelaburan sebelum konsesi berakhir.
Ujar saksi, isu lain yang ditimbulkan ialah penetapan wang cagaran kepada kerajaan negeri sebagai jaminan sekiranya kontraktor gagal menyiapkan projek, kekurangan kutipan sama ada ditambah nilai oleh kerajaan negeri atau sebaliknya.
Menurut Vijayalakchimi, perkara lain yang diperhalusi termasuk pelaksanaan serta bayaran yang perlu diteliti antara kedua pihak bagi mengelak Pulau Pinang mengalami kerugian memandangkan projek terowong dasar laut dan jalan utama di negeri itu melibatkan kos RM6.7 bilion.
“Saya sahkan Majlis telah mengambil maklum kertas tersebut dan pada dasarnya bersetuju dengan keputusan dan syor Lembaga Perolehan Negeri Pulau Pinang dengan syarat tertentu seperti keluasan tanah dikurangkan kepada 110 ekar berbanding 157 ekar yang dipohon,” ujar saksi.
Menurut beliau, MMKN pada dasarnya bersetuju dengan syarat dan terma yang dibincangkan dan meminta surat persetujuan beserta syarat dikemukakan kepada syarikat kontraktor, Consortium Zenith Beijing Urban Construction Group Sdn. Bhd. (CZBUCG).
Seorang lagi saksi, Maheswari berkata, MMKN telah diminta menimbangkan dan meluluskan perancangan dan penyediaan reka bentuk infrastruktur utama untuk mengagihkan dan menyurai aliran lalulintas seperti Link Ketiga Pulau Pinang (di sebelah utara), Jalan Lingkaran Dalaman Georgetown dan Terowong dari Lebuhraya Tun Dr. Lim Chong Eu ke Air Hitam.
Sementara itu, Wee Kok memberi keterangan, MMKN pada 10 Mei 2012 bersetuju bahawa proses penilaian ke atas pematuhan syarat-syarat asas dalam penyertaan pra-kelayakan yang telah dibuat dalam menyenarai pendek syarikat-syarikat yang berkelayakan untuk menyertai Request for Proposal (RFP).
Perbicaraan bersambung esok.
Guan Eng didakwa atas pertuduhan pindaan menggunakan kedudukannya untuk menerima suapan wang RM3.3 juta sebagai tindakan membantu syarikat milik Datuk Zarul Ahmad Mohd. Zulkifli dilantik melaksanakan projek itu yang bernilai berbilion ringgit.
Zarul Ahmad merupakan Pengarah CZBUCG yang dilantik sebagai kontraktor bagi projek berkenaan.
Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di antara bulan Januari 2011 dan Ogos 2017 di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Tingkat 28, Komtar. -UTUSAN ONLINE