Bawa 3 bot dari Teluk Intan bantu mangsa banjir di Selangor - Utusan Malaysia

Bawa 3 bot dari Teluk Intan bantu mangsa banjir di Selangor

MOHD. Shahril membawa tiga unit botnya bersama seorang rakan yang juga pemandu bot untuk misi bantuan banjir di Lembah Klang.- IHSAN MOHD. SHAHRIL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TELUK INTAN: Enggan berdiam diri melihat pasukan keselamatan bergelut menyelamatkan mangsa banjir di Selangor, pengusaha River Cruise Teluk Intan mengambil inisiatif membantu dengan menggunakan tiga unit bot miliknya.

Mohd. Sahril Mustafa, 33, berkata, dia  terpanggil menghulurkan bantuan selepas menerima banyak kiriman mesej melalui  Facebooknya yang meminta pertolongan segera.

Menurutnya, rata-rata yang memohon itu adalah dalam kalangan pengikut serta pelanggan yang pernah mendapatkan perkhidmatan botnya sebelum ini.

“Saya tinggal dan bekerja berhampiran sungai jadi memang faham situasi banjir tambahan lagi jika ia berlaku dalam keadaan tidak dijangka. 

“Sebab itu saya mahu bersama-sama membantu mereka (mangsa banjir). Mungkin ini hari mereka (ditimpa musibah), mana tahu esok lusa hari kita pula,” katanya ketika dihubungi.

Cerita Mohd. Shahril, dia membawa botnya bersama rakan yang juga pemandu bot untuk misi bantuan banjir di Lembah Klang dengan bertolak dari Teluk Intan, semalam.

Katanya, kerja-kerja memindahkan mangsa ke tempat selamat dijalankan sebaik mereka tiba di lokasi banjir di Sri Muda, Shah Alam pada pukul 3 petang.

“Semasa sedang buat persiapan ke sana semalam, seorang sukarelawan dari Klang datang ke jeti untuk membeli bot. Bot itu katanya mahu digunakan untuk membantu mangsa banjir.

“Saya beritahu dia tidak perlu beli, guna saja bot saya kerana memang mahu ke sana. Jadi kami ke sana dengan bot yang dibawa menggunakan lori lelaki itu,” katanya.

Menceritakan pengalamannya, sepanjang misi berkenaan, dia berkata, hatinya sebak setiap kali melihat keadaan mangsa banjir terutama warga emas dan kanak-kanak.

Malah katanya, perasaan sedih sukar dibendung apabila melihat pasukan bomba membawa mayat mangsa banjir.

“Saya terima banyak mesej daripada mangsa yang memberikan lokasi, ada yang beritahu terkandas dalam rumah tanpa bekalan elektrik sejak beberapa hari lalu,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya