PETALING JAYA: Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) menyifatkan bantuan yang disumbangkan kepada mangsa mangsa tidak mempunyai logo parti itu berikutan barang tersebut adalah hasil sumbangan daripada rakyat negara ini.
Menurut Muda, ini kerana parti itu hanya sebagai perantara untuk menghantar dan mengatur segala bantuan yang sudah diamanahkan.
“Barang bantuan kami tak ada logo Muda, sebab barang-barang ini semua bukan dari Muda, barang-barang ini dari rakyat.
“Muda cuma perantara saja, diamanahkan untuk sampaikan bantuan kepada rakyat oleh rakyat,” tulisnya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Isnin lepas, Muda mengutip lebih RM1 juta bagi membantu menyegerakan misi menyelamat untuk mangsa banjir, membeli keperluan asas, makanan, alat kebersihan diri serta bagi menguruskan misi membersihkan kawasan pasca banjir di seluruh negara selepas membuka tabung kecemasan itu pada 18 Disember yang lalu.
Muda serta beberapa pasukan orang awam menjadi antara yang pertama yang memasuki kawasan Taman Sri Muda, Shah Alam dan beberapa kawasan banjir lain yang terlibat. – UTUSAN ONLINE