SHAH ALAM: Peningkatan paras air sungai dan penutupan bekalan elektrik menyebabkan 472 kawasan di sekitar Petaling, Kuala Lumpur dan Hulu Langat mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual hari ini.
Gangguan tersebut berlaku berikutan dua Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Langat dan LRA Cheras Batu 11, terpaksa dihenti tugas sementara LRA Langat 2 dikurangkan kapasiti operasinya kepada pengeluaran separa selepas paras air Sungai Langat meningkat sehingga menyebabkan banjir.
Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor) dalam kenyataan memberitahu, bagi LRA Langat 2, berlaku penutupan bekalan elektrik kecemasan di muka sauk Semantan yang mengakibatkan ketiadaan bekalan air di LRA Langat 2.
“Di LRA Sungai Langat, peningkatan paras kekeruhan air yang tinggi mengakibatkan LRA hanya mampu mengeluarkan 40 peratus daripada pengeluaran harian manakala LRA Cheras Batu 11 terpaksa di henti tugas berikutan banjir.
“Berikutan henti tugas loji-loji rawatan air ini, sebanyak 472 kawasan di tiga wilayah iaitu Petaling, Kuala Lumpur dan Hulu Langat mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual,” katanya.
Jelas kenyataan itu, jangkaan untuk LRA Cheras Batu 11, LRA Langat 2 dan LRA Sungai Langat beroperasi sepenuhnya belum dapat dipastikan buat masa ini.
Bagaimanapun, Air Selangor turut memaklumkan pengagihan bekalan air menerusi lori tangki sebagai sumber alternatif tidak dapat digerakkan terutama bagi premis-premis kritikal seperti hospital, pusat dialisis dan sebagainya di kawasan banjir.
“Kesulitan itu kerana kebanyakan jalan utama ditutup berikutan banjir. Air Selangor akan memaklumkan perkembangan berkaitan dengan insiden ini dari semasa ke semasa menerusi kesemua saluran komunikasi rasmi kami seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan Twitter atau hubungi Pusat Perhubungan Air Selangor di talian 15300,” kata kenyetaan
Tambah kenyataan itu lagi, para pengguna juga boleh mendapatkan senarai kawasan yang terlibat menerusi laman sesawang http://hentitugas.airselangor.com/ dan aplikasi Air Selangor.
Pertanyaan dan aduan juga boleh diajukan di Help Centre yang boleh didapati di www.airselangor.com dan aplikasi Air Selangor.- UTUSAN