Banjir: Nilai hartanah Lembah Klang mungkin menurun - Utusan Malaysia

Banjir: Nilai hartanah Lembah Klang mungkin menurun

Nilai hartanah Lembah Klang dijangka menurun kerana kesan banjir yang dahsyat mewujudkan kebimbangan banjir teruk yang sama akan berlaku di masa depan -GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Nilai hartanah di kawasan Lembah Klang termasuk beberapa kawasan di Shah Alam dan Hulu Langat, Selangor yang dilanda banjir teruk baru-baru ini berkemungkinan akan menurun dalam jangka masa terdekat.

Ini berikutan kesannya yang sangat dahsyat kepada pemilikan, nilai dan permintaan hartanah di kawasan tersebut kerana wujud kebimbangan banjir teruk yang sama akan berlaku di masa hadapan.

Walau bagaimanapun, Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berpendapat, keadaan akan kembali normal selepas beberapa ketika kerana sentimen orang ramai bahawa kejadian banjir tersebut hanya berlaku sekali dan kemungkinan berulang semula agak rendah.

Ujarnya, kawasan-kawasan terjejas antaranya Taman Sri Muda, Shah Alam juga merupakan lokasi yang sentiasa mendapat permintaan tinggi dan sudah mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi.

“Faktor kekurangan bekalan kawasan penempatan serta kekurangan rumah adalah lumrah bagi yang memilih untuk tinggal di kawasan Lembah Klang, di mana penempatan rumah mampu milik untuk golongan B40 dan M40 mempunyai permintaan yang tinggi.

“Hartanah di kawasan lain pula terlalu mahal untuk dimiliki jadi para pembeli tidak mempunyai pilihan lain. Justeru, apa yg boleh dilakukan adalah pihak berkuasa perlu lebih cekap memperbaiki infrastruktur sedia ada,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.

Baru-baru ini, beberapa kawasan di Lembah Klang terutamanya Taman Sri Muda, Shah Alam dan Sungai Lui serta Taman Sri Nanding, Hulu Langat dilanda banjir terburuk akibat hujan berlarutan.

Selain itu, banjir turut melanda beberapa kawasan di Perak, Terengganu, Pahang dan Kelantan.

Sementara itu, penganalisis hartanah, Ahyat Ishak berkata, pihak perbankan juga berkemungkinan besar akan lebih berhati-hati dalam meluluskan pembiayaan perumahan di kawasan banjir sekali gus menyukarkan proses pemilikan hartanah.

Jelasnya, pihak bank sudah tentu akan mengenal pasti risiko tertentu sebelum meluluskan pembiayaan terhadap hartanah berisiko tinggi seperti yang berlaku di Bukit Antarabangsa ekoran tragedi tanah runtuh pada 2008.

“Selepas insiden tanah runtuh di Bukit Antarabangsa, tiada lagi pembangunan di situ kerana permintaan dan sentimen rakyat sendiri. Ini kerana, rakyat sendiri akan menjauhi kawasan tersebut kerana memikirkan risiko yang ada jika kejadian sama berulang kembali.

“Perkara yang sama juga berlaku dalam situasi banjir di Lembah Klang kali ini kerana mereka sudah tentu mempunyai sentimen yang sama. Pelabur mungkin berfikir tempat itu baru sahaja dilanda banjir. Namun, terdapat faktor lain yang akan tetap menjadikan permintaan hartanah di lokasi tersebut masih tinggi contohnya peluang pekerjaan industri di Batu Tiga, Shah Alam.

“Bagaimanapun, isu banjir ini mungkin hanya sementara kerana kali terakhir banjir teruk berlaku di Lembah Klang adalah pada 1971, iaitu 50 tahun yang lalu. Kejadian baru-baru ini pasti memberi kesan terhadap hartanah kawasan tersebut tetapi lama kelamaan akan dilupakan kerana kejadian ini bukannya sering berlaku,” ujarnya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya