KUALA TERENGGANU: Penduduk sekitar Kampung Pasir Raja di Dungun diminta bersedia berdepan banjir gelombang ketiga yang diramalkan pada 30 dan 31 Disember ini.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Bencana negeri, Hanafiah Mat berkata, langkah-langkah awal perlu diambil termasuk menyimpan barangan ke tempat selamat selain segera berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) jika kawasan mereka mula dinaiki air.
“Saya mohon mereka yang tinggal di kawasan rendah sentiasa berwaspada dengan kemungkinan banjir dan sekiranya air naik, berpindahlah ke PPS dengan segera.
“Semua agensi kerajaan bersedia untuk mengawal selia jika berlaku keadaan luar biasa di Sungai Dungun yang dijangka melepasi paras bahaya pada tarikh berkenaan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN) memaklumkan kawasan rendah dan berisiko di sekitar Kampung Pasir Raja berkemungkinan dilanda banjir pada Khamis dan Jumaat depan susulan paras Sungai Dungun yang melepasi tahap bahaya.
Dalam perkembangan lain, Hanafiah yang juga Pengerusi Khidmat Pengurusan Kecemasan dan Bencana Malaysia (Khidmat Malaysia) Terengganu berkata, seramai 1,600 sukarelawan badan itu turun padang membantu mangsa banjir di Kuantan, Pahang tiga hari bermula Khamis.
Katanya, jumlah itu melepasi jangkaan awal yang hanya menyasarkan 800 sukarelawan.
“Kumpulan kedua sudah bertugas di sana bermula semalam hingga esok manakala pada Selasa pula, bantuan melibatkan 500 sukarelawan dalam kalangan agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Temerloh serta Mentakab,” katanya.- UTUSAN