PUTRAJAYA: Seramai 160 penternak di seluruh Selangor menanggung anggaran kerugian berjumlah RM2.1 juta akibat banjir besar yang melanda negeri itu, lebih seminggu lalu.
Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee berkata, ia meliputi kematian lembu, kambing, ayam, rusa, itik, arnab serta kerosakan stok makanan ternakan.
“Saya dimaklumkan bahawa antara kawasan terjejas agak teruk daripada lapan daerah yang dilanda bencana dahsyat tersebut sepanjang minggu lepas ialah Kuala Selangor,” katanya.
Terdahulu, beliau turun ke beberapa ladang ternakan di daerah itu semalam bagi melakukan tinjauan dan meluahkan perasaan sedih apabila melihat sendiri suasana di lokasi kejadian dan berkesempatan melawat ladang lembu tenusu Es Agro Farm selain ladang kambing diusahakan penternak dikenali sebagai Zafir dan Palaniappan serta ladang lembu oleh Haskat.
Mengulas lanjut, Ronald berkata, pihak kementeriannya sedang giat berusaha membantu semua pemain yang terkesan khususnya penternak di samping rantaian agromakanan negara melalui dana berjumlah RM80 juta di bawah Peruntukan Pembangunan Semula Projek Agromakanan untuk meringankan beban kumpulan sasar terjejas. – UTUSAN ONLINE