Aset Sajat dilelong mulai 10.30  hari ini - Utusan Malaysia

Aset Sajat dilelong mulai 10.30  hari ini

MUHAMMAD SAJJAD KAMARUZZAMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Aset milik usahawan kosmetik kontroversi, Muhammad Sajjad Kamaruzzaman atau Nur Sajat akan dilelong mulai pukul 10.30 pagi ini  bagi menjelaskan pampasan yang dituntut oleh bekas pengendali stokis perniagaan bengkung dan girdle miliknya berjumlah RM200,000.

Lelongan aset tersebut adalah cara penyelesaian bagi menebus pampasan yang dituntut Nurwati Hussin, 41, dan Mohamad Syakir Husin, 32, dari syarikat OWA Resources.

Menurut peguam dari firma guaman NHA Advocates & Solicitors, Nurul Hafidzah Hassan dan Zeti Zulkifili yang mewakili plaintif memberitahu lelongan aset Muhammad Sajjad akan dibuat di No. 2, Jalan Polo 10/3, Kota Damansara, Petaling Jaya, Selangor.

Katanya, lelongan tersebut dibuat selepas perisytiharan jualan yang dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi pada 30 November lalu, namun Muhammad Sajjad gagal menjelaskan tuntutan selepas writ penyitaan ditampal.

“Pihak defendan tidak membuat pembayaran setelah writ penyitaan dan penjualan ditampal di premis Muhammad Sajjad Kamaruzzaman pada 30 November lalu. Maka, mahkamah telahpun meluluskan permohonan plaintif agar semua barang yang disita supaya dilelong besok,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, keputusan lelongan itu dibuat selepas mahkamah mendapati Muhammad Sajjad tidak memberi maklum balas untuk membayar pampasan setelah gagal dalam rayuannya di Mahkamah Rayuan pada April lalu bagi membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Dalam pada itu Nurwati dan Muhammad Syakir yang bersyukur kerana nama mereka kini telah dibersihkan dan diberi peluang menetapkan kebenaran tentang apa yang sebenarnya berlaku.

Mereka berlega hati yang pembohongan dan fitnah yang dilemparkan oleh Muhammad Sajjad kini diketahui oleh semua dan hanyalah satu helah melalui pemanipulasian fakta.

Tambah Nurul Hafidzah, kedua-dua plaintif juga berkata yang mereka tidak pernah memfitnah Muhammad Sajjad malah merekalah yang difitnah.

“Keputusan mahkamah adalah testimoni yang sistem perundangan negara bersetuju dengan hujahan dan bukti-bukti yang telah dibentangkan oleh pihak plaintif,” tambah Nurul Hafidzah.

Orang ramai yang ingin membeli senarai barang-barang yang akan dilelong bolehlah datang ke alamat seperti yang tertera di atas. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya