Agong, permaisuri cemar duli lawat PPS - Utusan Malaysia

Agong, permaisuri cemar duli lawat PPS

AL-SULTAN Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah (kanan) dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah mencemar duli berbual dengan rakyat jelata yang terlibat banjir di sebuah PPS hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mencemar duli melawat mangsa-mangsa banjir yang ditempatkan di tiga Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

Menerusi laman Facebook Istana Negara, Tuanku bersama dengan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan keprihatinan kepada mangsa serta berkenan mengurniakan sumbangan kepada mangsa-mangsa banjir di tiga PPS.

 “Menzahirkan keprihatinan, Agong dan Raja Permaisuri Agong berkenan mencemar duli berangkat melawat mangsa-mangsa banjir yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Wisma Belia, PPS Dewan Paya Besar dan PPS SMK Sungai Isap, Kuantan, Pahang hari ini.

“Baginda berdua turut berkenan mengurniakan sumbangan kepada mangsa-mangsa banjir di tiga PPS tersebut dengan harapan ianya dapat mengurangkan beban yang ditanggung akibat musibah banjir susulan hujan lebat sejak beberapa hari lalu.

“Pada lawatan PPS Wisma Belia Kuantan, Agong menitahkan supaya ujian saringan Covid-19 dilakukan terhadap mangsa-mangsa banjir di semua PPS bagi memastikan tiada kluster baharu berlaku dan menasihati semua pihak yang berada di PPS mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya menerusi kenyataan itu.

Keberangkatan Seri Paduka Baginda berdua mencemar duli adalah cerminan keperibadian tinggi dan kasih kepada rakyat Baginda tanpa mengira masa, tempat dan cuaca.

Semalam, Al-Sultan Abdullah telah mencemar duli dengan meredah banjir bagi melihat sendiri situasi semasa di sekitar kawasan jalan susur menghala Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).

Dalam lawatan ke PPS itu, turut berangkat, Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah dan Tengku Panglima Raja Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah.

Keberangkatan tiba Seri Paduka berdua disambut Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Dr. Sallehuddin Ishak.

Tuanku berdua telah berkenan meluangkan masa hampir dua jam dari jam 12.00 tengah hari bagi menyantuni dan beramah mesra bersama mangsa-mangsa banjir di tiga PPS tersebut.

“Seri Paduka juga menitahkan pihak terlibat dengan operasi banjir agar tidak leka melaksanakan tanggungjawab membantu mangsa-mangsa banjir dan menasihati rakyat mematuhi semua nasihat serta arahan yang dikeluarkan oleh kerajaan demi keselamatan diri dan keluarga tersayang.

“Tuanku turut menzahirkan simpati kepada mangsa-mangsa banjir dan mengajak semua rakyat Malaysia untuk sama-sama mendoakan situasi banjir dan cuaca buruk yang berlaku di Malaysia segera berakhir,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya