SHAH ALAM: Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) melaporkan 38 kejadian tanah runtuh termasuk tujuh daripadanya teruk berlaku di Selangor.
Kawasan teruk tersebut ialah di Taman Nusa, Subang; Aparment Teratai, Selayang; Jalan Bunga Anggerik, Taman Dataran Ukay dan Jalan Melati 7, Taman Seri Melati.
Kampung Sepakat, Batu 16, Rawang; Jalan Haji Abdul Latif, Kampung Bukit Kapar dan Jalan 45B, Bukit D, Kampung Cheras Baru.
Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Izham Hashim dalam satu kenyataan berkata, beberapa jalan di negeri ini masih ditutup berikutan terjejas akibat banjir.
“Sebanyak 284 jalan membabitkan Jalan Persekutuan dan Jalan Negeri di seluruh Selangor terjejas akibat banjir.
“Enam Jalan Persekutuan di Petaling, Sepang, Gombak, Hulu Langat dan Hulu Selangor masih ditutup termasuk lima Jalan Negeri di Kuala Selangor dan Hulu Langat,” katanya.
Terdahulu Utusan Malaysia melaporkan bencana banjir yang melanda di semua daerah di Selangor dengan situasi kritikal di Taman Sri Muda, Seksyen 25, di sini dan Pelabuhan Klang. Klang.
Banjir tersebut menyebabkan lebih 30,000 mangsa banjir dipindahkan ke lebih 100 pusat Pemindahan Sementara (PPS).
Rentetan itu, semalam Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), Datuk Dr. Aminuddin Hassim memaklumkan JMG melaporkan terdapat 44 kawasan berpotensi berlaku tanah runtuh dikenal pasti.
Bagaimanapun, beliau berkata, langkah-langkah wajar diambil oleh jabatan tersebut dengan kerjasama Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM).
Dalam pada itu, Izham memaklumkan situasi banjir di seluruh Selangor terus menunjukkan pemulihan apabila paras air di tujuh empangan berada pada status terkawal.
Menurutnya, empangan tersebut adalah Batu, Semenyih, Langat, Klang Gates, Sungai Selangor, Tasik Subang, Kolam Takungan Sungai Labu dan Sungai Tinggi.
“Enam empangan iaitu di Batu, Semenyih, Klang Gates, Tasik Subang, Sungai Selangor dan Sungai Tinggi menunjukkan tren penurunan paras air kecuali di Langat dan Sungai Labu yang menunjukkan paras air tidak berubah,” jelasnya.
Tambah Izham lagi, sebelum ini pelepasan air dibuat secara berperingkat di dua empangan iaitu Batu dan Klang Gates.- UTUSAN