SHAH ALAM: Seorang pemandu treler direman empat hari bagi membantu siasatan kemalangan mengorbankan 10 mangsa di Kilometer 8.3 Lebuhraya ELITE, dekat sini, awal pagi tadi.
Timbalan Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Superintendan Mohd. Fairus Jaafar berkata, lelaki berusia 37 tahun itu kini ditahan pihaknya untuk tindakan lanjut.
“Permohonan reman ke atas pemandu treler itu dibenarkan bermula hari ini hingga 21 Disember depan.
“Kes sedang disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, hasil ujian alkohol dan air kencing ke atas lelaki berkenaan didapati negatif.
Kata Mohd. Fairus, siasatan awal pihaknya mendapati kejadian melibatkan treler dan tiga kenderaan itu berlaku pada pukul 12.09 tengah malam tadi.
“Treler itu dipercayai merempuh tiga kereta yang berhenti di lorong kecemasan disebabkan salah satu daripadanya mengalami kerosakan.
“Dua kereta lain ketika itu berhenti untuk memberi bantuan,” katanya.
Tambah beliau, kemalangan itu mengakibatkan 10 mangsa berusia 10 bulan hingga 37 tahun meninggal dunia di lokasi kejadian.
“Semua mangsa dihantar ke Hospital Shah Alam untuk proses bedah siasat,” katanya.
Sehubungan itu, polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian supaya menghubungi Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Subang Jaya, Asisten Superintendan Lim Chin Huat di talian 012-2018080 untuk tindakan lanjut. -UTUSAN ONLINE