10 jam bertarung nyawa, 4 nelayan selamat nahas bot karam - Utusan Malaysia

10 jam bertarung nyawa, 4 nelayan selamat nahas bot karam

SEBUAH bot nelayan berjaya menyelamatkan empat nelayan lain yang karam di kedudukan 13 batu nautika barat daya Tanjung Segenting, Batu Pahat, Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA TINGGI: Empat nelayan bertarung nyawa selama 10 jam di lautan selepas bot dinaiki mereka karam di kedudukan 13 batu nautika barat daya Tanjung Segenting di Batu Pahat, semalam.

Timbalan Pengarah Operasi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Johor, Kepten Maritim Simon Templer Lo Ak Tusa berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 11 malam. 

Katanya, Pusat Penyelaras Mencari dan Menyelamat Maritim (MRSC) Johor Bahru mendapat maklumat pada pukul 1.30 pagi dari Zon Maritim Batu Pahat yang menerima panggilan awal kejadian berkenaan daripada pemilik bot.

“Kesemua empat orang nelayan itu warganegara tempatan berumur dalam lingkungan 25 hingga 34 tahun. Bot berkenaan karam berikutan cuaca buruk dan laut berombak besar. 

“Bagaimanapun semua mereka yang memakai jaket keselamatan ditemukan dalam keadaan selamat selepas terapung selama 10 jam. Kesemua mereka diselamatkan bot nelayan lain yang turut sama mencari bot mereka yang telah karam,” katanya pada sidang akhbar di Pangkalan Hadapan Carilamat (PHC) di Tanjung Balau, hari ini.

Simon Templer berkata, komuniti maritim terutamanya nelayan perlu sedar akan risiko ketika bekerja menangkap ikan di laut serta nelayan juga perlu peka dengan perubahan cuaca dan perlu mendapatkan maklumat ramalan cuaca sebelum turun ke laut. 

“Selain itu persediaan dari segi peralatan keselamatan seperti jaket dan pelampung keselamatan perlu ada dalam bot dan dalam keadaan baik untuk digunakan. 

“Nelayan juga dinasihatkan untuk membuat selenggaraan ke atas bot dan enjin agar tidak mendatangkan risiko ketika di laut seperti kerosakan enjin dan hanyut hingga ke laluan kapal-kapal besar,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya