PETALING JAYA: Tunku Ismail Sultan Ibrahim sudah memaafkan tindakan ala ‘Zidane’ Safiq Rahim yang menyebabkan bekas bintang Harimau Malaya itu dibuang padang pada separuh akhir kedua Piala Malaysia malam tadi.
Bekas kapten Harimau Selatan itu dilayangkan kad merah pada minit ke-16 kerana menghantuk kepala pemain Terengganu FC Faisal Halim.
Tindakan mengejut Safiq yang disifatkan seperti insiden legenda Perancis, Zinedine Zidane ketika menanduk pertahanan Itali, Marco Materazzi dalam final Piala Dunia 2006 menyebabkan Johor Darul Ta’zim (JDT) terpaksa beraksi dengan 10 pemain dalam sebahagian besar permainan.
Bagaimanapun tuan rumah bernasib baik kerana ketika kejadian berlaku mereka sudah mendahului 3-0 , dan keputusan itu kekal hingga tamat permainan, sekali gus membawa JDT ke final menerusi agregat 4-1.
Setiap orang atau individu membuat silap. Kita manusia, we’re not perfect. Safiq kesal dengan tindakan dia dan dia minta maaf kepada semua players, coaches dan staff, and that’s it. Itu sahaja. Its over, and we move on. https://t.co/3SxAk64kEj
— HRH Crown Prince of Johor (@HRHJohorII) November 27, 2021
“Setiap orang atau individu membuat silap. Kita manusia, we’re not perfect (kita tidak sempurna).
“Safiq kesal dengan tindakan dia dan dia minta maaf kepada semua players (pemain), coaches (jurulatih), staff (staf) dan that’s it (itu sahaja).
“Its over and we move on,”tulis Tunku Mahkota Johor (TMJ) dalam Twitter miliknya hari ini.
JDT akan menentang Kuala Lumpur City FC (KL City FC) untuk menentukan juara edisi 100 tahun Piala Malaysia di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Selasa ini.