PASIR MAS: Kelantan diramal tidak mengalami banjir besar tahun ini, berikutan purata taburan hujan di seluruh negeri yang direkodkan setakat ini sudah pun mencecah hingga 68 peratus.
Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, data hujan tahunan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menunjukkan baki peratusan taburan hujan tinggal kira-kira 32 peratus.
“Purata hujan tahunan di Kelantan adalah 2,700 millimeter (mm) dan setakat ini sudah sebanyak 1,835 mm direkodkan dengan baki kira-kira 875 mm. Hanya tinggal beberapa episod hujan sahaja lagi.
“Insya-Allah banjir di Kelantan tahun ini tidak besar seperti sebelum ini atau pada 2014. Jika hujan lebat dalam lima jam, kemungkinan banjir kilat sahaja,” katanya selepas meninjau Projek Penstabilan Tebing Sungai Kelantan di Kampung Pohon Celagi di sini hari ini.
Menurut beliau, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sentiasa membuat pemantauan terutama di kawasan berisiko banjir serta tanah runtuh di seluruh negara.
“Beberapa kawasan berisiko dikenal pasti iaitu pantai dan sungai di Bachok dan Pasir Mas di Kelantan; Yan di Kedah dan Ampang di Selangor. Bagi kawasan berisiko ini, kita buat persediaan awal dengan membaik pulih kerosakan,” katanya.
Kata Tuan Ibrahim, bagi kerja-kerja membaik pulih runtuhan tebing sungai di Kampung Pohon Celagi di sini, projek itu setakat ini sudah mencapai 42.65 peratus dan dijangka siap 3 Mei depan.
“Jangkaan awal projek ini adalah 38.5 peratus namun melebihi sasaran. Kita berpuas hati dengan projek ini kerana sasaran kementerian dapat dicapai menjelang 100 hari Inspirasi Keluarga Malaysia,” katanya. – UTUSAN