KUALA TERENGGANU: Kerajaan Pas Terengganu mengembalikan pemberian dana raya kepada rakyat negeri ini menerusi bantuan i-Fitri bernilai kira-kira RM33.4 juta, pada tahun depan.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, inisiatif yang akan disalurkan menjelang Hari Raya Aidilfitri itu bakal memberi manfaat kepada 115,000 isi rumah yang layak di seluruh negeri.
Menurut beliau, bantuan RM400 akan diberikan kepada 31,500 isi rumah miskin manakala RM250 pula kepada 83,500 isi rumah berpendapatan antara RM2,500 hingga RM5,000.
“Bantuan ini diharapkan dapat menyokong kewangan semua isi rumah B40 dan sebahagian isi rumah M40 supaya mereka dapat meraikan Aidilfitri lebih meriah serta berkat setelah dua tahun menyambutnya dengan keterbatasan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Terengganu 2022 yang bertemakan ‘Merakyatkan Sejahtera Untuk Semua’ dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu Ke-14 di Wisma Darul Iman di sini hari ini.
Isu dana raya menjadi pertikaian ramai kerana bantuan berkenaan dihentikan pada tahun ini, sebaliknya disalurkan dalam bentuk bantuan Covid-19 kepada golongan yang memerlukan.
Sebelum ini, kerajaan negeri memutuskan meneruskan bantuan dana raya yang diperkenal Barisan Nasional (BN) itu secara agihan bersasar berbanding tradisi pentadbiran lalu yang memperuntukkan antara RM300 hingga RM400 kepada setiap penerima dengan jumlah keseluruhan hampir RM99 juta.
Sementara itu, Ahmad Samsuri turut mengumumkan bantuan tunai secara one-off bernilai RM150 kepada golongan belia di negeri ini bagi menyokong kewangan mereka membabitkan peruntukan hampir RM13.2 juta.
Katanya, penerima membabitkan seramai 66,400 belia bujang berusia antara 18 hingga 39 tahun di samping 21,800 pelajar daripada isi rumah berpendapatan RM4,000 ke bawah.- UTUSAN