PASIR GUDANG: Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim menyifatkan perbuatan menandatangani akuan bersumpah (SD) bagi mengelakkan wakil rakyat melompat parti adalah satu bentuk penghinaan kepada calon bertanding.
Menurut beliau, setiap calon yang ditampilkan seharus mendapat kepercayaan penuh daripada parti dan bukan sebaliknya timbul perasaan curiga.
“Jika saya jadi calon dan kena tandatangan SD itu, saya akan rasa terhina. Parti sepatutnya sudah kenal kita siapa, sampai hati suruh tandatangan, ini perbuatan menghina kerana untuk jadi calon pun sudah melalui tapisan.
“Apa yang lebih baik adalah kerajaan perlu gubal Akta Lompat Parti, pinda Perlembagaan itu lebih baik, undang-undang boleh mencegah tetapi sehingga kini ia masih belum jadi saya rasa itu perlu dibawa segera,” katanya ketika menghadiri program penyampaian sumbangan pakaian kepada masyarakat Orang Asli di Kampung Teluk Jawa, di sini hari ini.
Hassan yang juga bekas Pengerusi PKR Johor mengulas kenyataan Pengarah Pilihan Raya Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan yang berkata semua bakal calon parti itu perlu menandatangani aku janji dan beberapa lagi perjanjian sebelum diberi tauliah mewakili parti dalam pilihan raya.
Keputusan itu dibuat pihaknya bagi mengelakkan wakil rakyat yang menang atas tiket parti itu melompat parti.
Sementara itu, Hassan turut memberitahu, pihaknya tidak menyokong sekiranya Pakatan Harapan (PH) mahu melakukan perkara sama kerana SD tidak mempunyai kuasa untuk menghalang seseorang itu melompat parti.
“SD ini tidak boleh menghalang calon yang dah menang melompat pada parti lain, mesti ada undang-undang untuk itu. Perlembagaan negara kita setakat ini tidak menghalang sesiapa yang sudah menang pilihan raya nak melompat parti lain.
“Dari segi undang-undang negara kita, kontrak atau perjanjian (bersama parti) itu adalah terbatal sekiranya bertentangan dengan undang-undang.
“Tetapi kalau parti nak saman orang itu, boleh tapi bukan kerana dia melompat, tetapi kerana dia menang dan parti sudah berbelanja, bayar poster, cari pekerja dan gerakkan jentera dan segala kemudahan, boleh dinilai berapa ringgit, bila dia menang dia lompat, dari segi itu boleh,” ujarnya. – UTUSAN