Syurga beli-belah Padang Besar 'melimpah' - Utusan Malaysia

Syurga beli-belah Padang Besar ‘melimpah’

ARKED niaga Padang Besar, Perlis kembali menjadi tumpuan dengan pengunjung meluangkan masa sempena cuti hujung minggu membeli-belah.- UTUSAN/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG BESAR : Sejak hampir dua tahun lalu, para peniaga di arked niaga Padang Besar di sini, hanya mampu termenung menanti pelanggan yang tidak kunjung tiba berikutan larangan rentas negeri ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Namun, sejak kelonggaran rentas negeri dibenarkan, ‘syurga’ membeli belah yang menjadi antara lokasi tarikan utama pelancong itu kembali bernyawa.

Tinjauan Utusan Malaysia di sekitar arked niaga Padang Besar semalam mendapati, kawasan tersebut dipenuhi pengunjung yang memanfaatkan cuti hujung minggu dan melepaskan kerinduan membeli-belah.

Malah, lot-lot parkir di sekitar arked niaga itu penuh dan deretan kenderaan memenuhi bahu jalan menuju ke Padang Waremart di sini, selain para peniaga kedai makan pula tidak menang tangan melayan pelanggan.

Seorang peniaga pakaian dan makanan, Juliana Arshad, 42, berkata, dia bersyukur aktiviti perniagaan di sini kembali pulih dengan orang ramai mula mengunjungi Padang Besar khususnya pada cuti hujung minggu.

“Alhamdulillah, dalam tempoh dua minggu ini, kami dapat melihat peningkatan ketara jumlah pengunjung dari seluruh negara yang datang membeli-belah di Padang Besar.

“Sebelum ini, saya terpaksa berniaga ikan bagi menampung kos sara hidup sewaktu pandemik Covid-19. Saya harap suasana seperti ini berterusan. Kehadiran pelancong ini adalah limpahan rahmat terhadap peniaga tempatan yang mencari rezeki di sini,” katanya.

Seorang lagi peniaga pakaian, Rosli Ya, 56, berkata, pendapatannya melonjak lebih 80 peratus pada cuti hujung minggu berbanding hari biasa selepas sekatan rentas negeri kembali dibenarkan.

“Ramai yang masih beranggapan arked niaga Padang Besar tidak dibuka tapi sebenarnya lebih 50 kedai di kawasan arked ini telah beroperasi,” katanya.

Seorang pengunjung, Aminul Hafiz, 34, dari Johor pula berkata, dia bersama anak dan isterinya mengambil peluang membeli-belah di Padang Besar selepas menghantar adiknya meneruskan pengajian di sebuah institut perguruan di Jitra, Kedah.

“Saya memilih membeli-belah di Padang Besar kerana ia mempunyai keunikan tersendiri. Saya sendiri gemar membeli pakaian sukan dan jersi di sini. Bagi orang perempuan pula, mereka mungkin memilih alas tidur atau toto selain pelbagai produk makanan dari Thailand,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya