PUTRAJAYA: Majlis Pemulihan Negara (MPN) mahu sempadan negara dibuka kepada pelawat antarabangsa selewat-lewatnya 1 Januari 2022 bagi mempercepat pemulihan negara khususnya dalam sektor pelancongan.
Pengerusinya Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, MPN memahami situasi sukar dihadapi sektor pelancongan negara yang berdepan pemulihan agak perlahan.
Beliau berkata, sektor pelancongan negara antara yang teruk terjejas akibat pandemik Covid-19 disebabkan ketiadaan pelancong antarabangsa.
“Mesyuarat hari ini turut mendengar taklimat daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya(MOTAC) yang berkongsi mengenai perkembangan terkini sektor pelancongan negara.
“MPN juga setuju supaya Kementerian Kewangan (MOF) meneliti permohonan MOTAC berhubung bantuan fiskal dan bukan fiskal bagi memulihkan sektor itu,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat MPN Bil. 5 di sini, hari ini.
Kata Muhyiddin, pihaknya juga mahu Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyenaraikan segera negara lain yang dikenal pasti bagi tujuan kerjasama laluan khas atau koridor perjalanan.
Katanya, pembukaan semula sempadan negara perlu selepas mengambil kira tahap pencapaian program vaksinasi negara yang amat baik.
Menurutnya, kadar vaksinasi negara ketika ini adalah terbaik di dunia, justeru amat wajar sempadan negara dibuka semula.
Dalam pada itu, beliau berkata, MPN secara keseluruhannya saya berpuas hati dengan perkembangan yang dicapai, khususnya dari segi trend penurunan kes-kes positif harian.
“Kami juga berpuas hati dengan penurunan kes kematian, kemasukan kes Covid-19 kategori 3 hingga 5 ke hospital dan kadar vaksinasi lengkap populasi dewasa yang mencapai 95 peratus dan remaja pada 76.7 peratus pada masa ini.
“Namun kita masih perlu kekal berwaspada dengan terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan sementara kerajaan meneruskan pemberian suntikan vaksin kepada yang belum menerima vaksin atau belum lengkap dan dos penggalak,” katanya.
Katanya, MPN turut dimaklumkan bahawa prestasi ekonomi bagi suku kedua 2021 masih lagi di bawah paras pra-pandemik malah, jangkaan ekonomi bagi suku ketiga dan keempat juga masih mencabar. – UTUSAN ONLINE