Sambutan 100 tahun penubuhan UPSI 29 November  - Utusan Malaysia

Sambutan 100 tahun penubuhan UPSI 29 November 

LIMPAHAN lampu neon dipasang di pintu gerbang UPSI Kampus Sultan Azlan Shah, Proton City Tanjung Malim bermula malam ini sempena Istiadat Konvokesyen yang sedang berlangsung dan sambutan 100 tahun penubuhan UPSI pada 29 November ini. - UTUSAN/IHSAN UPSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TANJUNG MALIM: Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di sini akan melancarkan majlis sambutan 100 tahun penubuhannya pada 29 November ini.

Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr. Md. Amin Md. Taff berkata,  bagi menyemarakkan suasana ambang sambutan, pintu gerbang Kampus Sultan Azlan Shah, Proton City di sini dipasang lampu limpah cahaya neon bermula malam ini.

Menurutnya, pintu gerbang kampus akan diterangi lampu limpah hingga sambutan ambang seabad penubuhan institusi pendidikan terulung itu pada 29 November ini.

Beliau berkata, rekaan pintu gerbang yang unik di Kampus Sultan Azlan Shah menjadi antara mercu tanda di Tanjung Malim sejak tahun 2012 dan menjadi tarikan ramai pengunjung di daerah ini.

Katanya, berlatar belakang  pemandangan Banjaran Titiwangsa yang indah, Kampus Sultan Azlan Shah di sini menjadi kemegahan warga Daerah Muallim. 

“UPSI  memasang dan memainkan lampu neon pelbagai warna di hadapan pintu gerbang sempena Istiadat Konvokesyen yang sedang berlangsung dari 20 hingga 26 November ini sehingga malam sambutan 100 tahun UPSI pada 29 November ini.

“Limpahan cahaya neon berwarna warni akan dimainkan bermula pukul 7.30 malam dan berakhir pada pukul 12 tengah malam.

“Ini  akan menjadi menjadi galakan dan tarikan orang ramai dan pelancong ke negeri ini dan daerah Muallim, sekaligus membantu melestarikan industri pelancongan yang terkesan akibat pandemik Covid-19, “ katanya dalam kenyataan di sini hari ini. 

Md. Amin berkata, UPSI melalui perjalanan sejarah yang panjang sejak penubuhan Sultan Idris Training College (SITC) pada 29 November tahun 1922, sebagai pusat pengajian bersejarah yang melahirkan ramai guru-guru sekolah tanah air. 

Menurutnya, bersesuaian dengan hasrat Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang mahu merapatkan jurang universiti dengan masyarakat melalui pendekatan Universiti for Society (U4S), UPSI akan terus melaksanakan program berkaitan dan prasarana.

“Ini termasuk perkhidmatan penginapan Hotel Scholar’s Suite serta kemudahan ruang riadah dan sukan sepert UPSI’s Adventure Park serta UPSI Sport City untuk kemudahan awam,” katanya. – UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN