Rosmah mohon hakim bicara ditukar - Utusan Malaysia

Rosmah mohon hakim bicara ditukar

ROSMAH MANSOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Risau dirinya akan diprejudiskan pada perbicaraan membabitkan pertuduhan pengubahan wang haram melebihi RM7 juta dan pengelakan cukai, Datin Seri Rosmah Mansor memohon agar Hakim Mahkamah Tinggi, Mohamed Zaini Mazlan dihalang daripada mendengar kes itu.

Ini kerana pada 21 Oktober lalu, hakim tersebut telah membenarkan keterangan yang dirakam sewaktu siasatan kes pengubahan wang haram dan pengelakan cukai itu diguna pakai dalam perbicaraan kes rasuah berkaitan projek solar hibrid yang dihadapi Rosmah.

“Keterangan dan eksibit-eksibit telah dikemukakan di dalam perbicaraan kes solar yang mana ia secara langsung dan tidak langsung boleh mempengaruhi Hakim Mohamed Zaini sekiranya mendengar kes ini.

“Pemohon mempunyai hak untuk mendapatkan suatu perbicaraan yang adil dan adalah dilindungi sebagai hak asasi di bawah Perlembagaan Persekutuan. Hak ini akan diprejudiskan secara teruk dan menjadi sia-sia sekiranya Hakim Mohamed Zaini mendengar perbicaraan kes (pengubahan wang haram) ini,” katanya dalam notis permohonan yang difailkan pada 2 November lalu.

Pada 18 Februari lalu, Hakim Mohamed Zaini memerintahkan Rosmah untuk membela diri atas tuduhan meminta rasuah RM187.5 juta dan menerima suapan sebanyak RM6.5 juta berhubung tender membekal dan memasang tenaga solar hibrid di 369 sekolah di pedalaman Sarawak.

Rosmah kini sedang disoal balas oleh Timbalan Pendakwa Raya adhoc, Datuk Seri Gopal Sri Ram pada perbicaraan kes rasuah solar. Perbicaraan itu akan bersambung pada 8 Disember ini.

Pada 4 Oktober 2018, Rosmah turut didakwa atas 12 pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM7,097,750, serta lima pertuduhan gagal menyerahkan penyata pendapatan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Bagi pertuduhan pengubahan wang haram, Rosmah didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 yang boleh dihukum menurut Seksyen 4(1) akta sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan juga boleh didenda tidak kurang lima kali ganda nilai aktiviti haram atau RM5 juta, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pertuduhan mengelakkan cukai pula dibuat mengikut Seksyen 77(1) Akta Cukai Pendapatan 1967 yang menuntut Rosmah mengemukakan penyata pendapatan bagi tahun taksiran 2013 hingga 2017 kepada Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri pada atau sebelum 30 April 2014, 2015, 2016, 2017 dan 2018 dengan tiada sebab yang munasabah yang bertentangan dengan Seksyen 112 akta sama.

Perbicaraan bagi kes pengubahawan wang haram dan gagal menyerahkan penyata cukai akan bermula 14 Disember ini. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN