PETALING JAYA: Eco Shop Malaysia mengumumkan kenaikan harga 10 sen bagi semua barang dijual di rangkaian perniagaannya di seluruh negara bermula 1 Disember ini.
“Dengan berat hati, kami membuat keputusan harga jualan kami akan berubah dari RM2.10 kepada RM2.20 di Semenanjung Malaysia manakala dari RM2.30 kepada RM2.40 bagi Pulau Langkawi, Sabah dan Sarawak mulai pada 1 Disember,” umum Eco Shop Malaysia menerusi Facebook rasminya.
Jelas kenyataan itu, selama ini Eco Shop Malaysia sentiasa memegang prinsip untuk menawarkan barangan yang berkualiti dengan harga paling murah sehingga rangkapan perniagaan tersebut popular dalam kalangan rakyat.
Bagaimanapun, menurut kenyataan tersebut, pihaknya terpaksa melakukan perubahan harga jualan disebabkan kos barangan yang semakin meningkat tetapi dalam masa sama memberi jaminan akan terus berpegang kepada prinsip utama syarikat iaitu menawarkan barangan yang berkualiti. – UTUSAN