MELAKA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan sebanyak 25 peratus pengundi awal telah keluar mengundi sehingga pukul 10 pagi ini.
Terdahulu, proses pengundian awal Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka melibatkan 31 lokasi di seluruh negeri telah bermula pada pukul 8 pagi ini.
Dijangka 11,557 pengundi awal terdiri daripada 9,217 anggota ltentera dan pasangan serta 2,340 polis akan menjalankan tanggungjawab masing-masing pada hari ini.
Sebelum ini, SPR menetapkan tarikh 8 November sebagai hari penamaan calon manakala pengundian awal pada 16 November.
Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka dibubarkan pada 4 Oktober lalu selepas dipersetujui Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd. Ali Rustam.
Ia susulan empat bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menarik sokongan daripada kerajaan Negeri Melaka di bawah pentadbiran Ketua Menterinya, Datuk Seri Sulaiman Md Ali. -UTUSAN ONLINE