KUALA TERENGGANU: Harga barang mentah yang mahal menambah derita seorang peniaga nasi bajet di Pengadang Baru di sini, kerana perniagaannya kini sekadar balik modal.
Walaupun jualan di gerainya laris, Nurul Ain Azmi, 35, mengeluh tidak mampu meraih keuntungan berikutan kos modal dan upah pekerja yang hampir RM1,500 sehari.
Katanya, sejak kembali beroperasi pada Ogos lalu, harga barangan mentah melambung terutama ayam yang kini mencecah RM10 sekilogram daripada RM7 di samping bawang daripada RM13 sekilogram kepada RM16 dan cili daripada RM8 sekilogram kepada RM14.
“Itu belum termasuk kos lain kerana sudah dua minggu saya terputus bekalan minyak masak paket bersubsidi hingga terpaksa berbelanja lebih untuk membeli dua botol minyak masak lima kilogram yang setiap satunya berharga RM29.
“Paling membebankan ialah kos ayam dan setiap hari saya memperuntukkan sebanyak RM600 diikuti ikan keli hampir RM100 manakala barangan mentah lain mencecah RM400 dan upah lima pekerja, RM300,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di gerainya, semalam.
Nurul Air berkata, sebagai peniaga nasi bajet, dia tidak tergamak menaikkan harga makanan kerana pelanggan utama adalah golongan B40 termasuk pekerja tapak binaan yang turut terhimpit dengan impak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Katanya, buat masa ini harga nasi bajet kekal RM3.50 sebungkus bagi ayam berempah, manakala untuk ikan keli pula RM4.50.
“Sepanjang lima tahun berniaga, pertama kali saya menaikkan harga jualan adalah selepas Hari Raya Aidilfitri lalu daripada RM3 sebungkus kepada RM3.50, malah, rata-rata pelanggan mengakui harga nasi bajet di gerai saya masih lagi murah berbanding di tempat lain.
“Tetapi jika harga ayam terus melambung hingga RM12 sekilogram, saya terpaksa meningkatkan harga nasi bajet kepada RM4 sebungkus kerana modal harian perniagaan makin bertambah,” katanya. – UTUSAN ONLINE