GEORGETOWN: Selepas berhempas-pulas mempertahan perniagaan sepanjang pandemik Covid-19, peniaga jeruk di negeri ini akhirnya dapat tersenyum lebar selepas perniagaan mereka kembali meraih keuntungan berganda bermula awal bulan lalu.
Pemilik perniagaan D’jeruk Kita, Bakar Noordin, 58, berkata, selepas rentas negeri dibenarkan, gerai jeruknya yang terletak berhampiran Pasar Chowrasta di sini, menjadi tumpuan ramai terutama pelanggan setia dari Kuala Lumpur.
“Hujung minggu lalu kira-kira 300 kilogram jeruk dapat dijual, saya sangat bersyukur dengan sambutan orang ramai yang kembali membeli-belah di sini.
“Hampir dua tahun saya berhempas-pulas bertahan kerana tiada keuntungan akibat Covid-19, sekarang semuanya sedang pulih semula,” katanya ketika ditemui di Pasar Chowrasta, di sini, semalam.
Menurut Bakar, di sebalik kegembiraan perniagaan jeruk kembali pulih, dia dan peniaga-peniaga lain agak bimbang kerana terdengar khabar angin mengenai kenaikan harga buah-buahan.
“Kami harap kerajaan dapat lihat perkara ini kerana peniaga baru sahaja dapat bernafas semula, kalau harga barang meningkat sukar untuk kami kekalkan jeruk pada harga sekarang,” katanya.
Selain itu, tambahnya, harga plastik pembungkus juga dikatakan akan naik sehingga 45 peratus pada minggu ini sekali gus amat menggusarkan peniaga.
Seorang lagi peniaga jeruk, Cheng Seng Huat, 57, berkata, dia lega selepas melihat jumlah pengunjung semakin meningkat ke pusat bandar sebaik sahaja rentas negeri dibenarkan.
“Jeruk yang paling dapat sambutan ialah jeruk mangga tanpa kulit, setiap hujung minggu lebih 50 kilogram jeruk jenis ini dapat dijual,” katanya. – UTUSAN ONLINE