Pengasas Rumah Bonda didakwa lagi - Utusan Malaysia

Pengasas Rumah Bonda didakwa lagi

SITI BAINUN AHD RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Selepas didakwa atas tuduhan mengabaikan seorang remaja perempuan Sindrom Down, pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali dituduh pula atas dakwaan menganiaya mangsa yang sama.

Mengikut pertuduhan, wanita berusia 29 tahun yang dipertanggungjawabkan untuk menjaga kanak-kanak perempuan berusia 13 tahun itu didakwa telah menganiaya mangsa sehingga menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal dan emosi.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di antara Februari dan Jun lalu, di sebuah unit kondominium di Wangsa Maju di sini.

Pertuduhan terhadapnya dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Noor Shakira Aliana Alias mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pada 20 Ogos lalu, Siti Bainun juga turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mengabaikan remaja terbabit sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal dan emosi pada masa dan tempat yang sama.

Selepas mahkamah merekodkan pengakuan wanita itu, peguam bela tertuduh, Datuk Farhan Maaruf memohon agar mahkamah mengguna pakai jaminan RM12,000 yang telah dikenakan terhadap anak guamnya sebelum ini memandangkan ia membabitkan fakta dan bukti yang sama.

“Namun sekiranya mahkamah ingin mengenakan jaminan bagi pertuduhan kedua ini, saya mohon ikat jamin sebanyak RM3,000,” kata Farhan.

Timbalan Pendakwa Raya Noor Shakira Aliana Alias bagaimanapun memohon agar ikat jamin baharu dikenakan memandangkan tertuduh kini menghadapi dua kes berbanding satu kes sahaja sebelum ini.

Hakim Izralizam Sanusi kemudian menetapkan wang jamin tambahan sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin dengan syarat tambahan sebelum ini seperti larangan untuk mengganggu mangsa, menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melapor diri di balai polis berdekatan dikekalkan.

Pendakwaan kemudian memaklumkan bahawa kedua-dua kes itu akan dibicarakan bersama dan seramai 29 orang saksi dijangka akan dipanggil memberi keterangan.

Noor Shakira Aliana turut memaklumkan kepada mahkamah, kedua-dua kes itu akan dibicarakan bersama dan setakat ini pihaknya telah menyediakan seramai 29 saksi pendakwaan untuk memberi keterangan.

Perbicaraan kes itu ditetapkan selama 15 hari bermula 30 Mac 2022. Mahkamah juga menetapkan 6 Januari 2022 untuk sebutan semula kes.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya