LANGKAWI: Pelanggan yang terpaksa membayar RM1,196 bagi hidangan seekor ikan siakap mendakwa, pemilik restoran terapung di Taman Geoforest Karst Kilim di sini tidak memaklumkan mengenai saiz dan berat ikan tersebut ketika membuat tempahan ikan tersebut.
Mohd. Faris Zulkarnain memberitahu, peniaga tersebut tidak memaklumkan ikan tersebut bersaiz mega dan seberat tujuh kilogram (kg).
“Saiz ikan siakap yang ditunjukkan kepada kami (dengan anggaran tangan) sewaktu memaklumkan besar ikan tersebut berbeza sewaktu dia tunjukkan kepada media,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebook miliknya semalam.
Khamis lalu, pemilik restoran terapung yang tular kerana menjual hidangan siakap bernilai lebih RM1,000 itu menyatakan pelanggan tersebut yang memilih ikan itu walaupun telah diberitahu saiznya adalah sangat besar.
Pemilik Restoran Terapung Sas Rimba, Norasyikin Musa berkata, dia sendiri yang mengambil pesanan daripada pelanggan tersebut.
Mohd. Faris menambah, pemilik restoran itu juga tidak mengajaknya untuk menangkap dan melihat ikan siakap yang telah dinyatakan itu.
Malah, menurutnya, dia turut menafikan dakwaan yang menyatakan pihaknya yang bersungguh-sungguh mahukan ikan tersebut.
“Penjelasan yang diberikan oleh peniaga terbabit mengelirukan dan turut berkongsi hantaran pelanggan lain yang mengalami nasib yang sama,” ujarnya.
Menurutnya, dia juga telah membuat laporan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengenai perkara tersebut dan bersedia tampil memberi penjelasan untuk membantu.
Pada masa yang sama, katanya, dia berharap pihak berkuasa dapat menyelesaikan isu tersebut secara baik dan berhemah.
Katanya, orang ramai juga diminta berhenti daripada mengeluarkan komen berlebihan yang berbaur fitnah, kecaman, kejian, penghinaan, caci dan maki kepada mana-mana pihak.
“Biarlah pihak yang berwajib menjalankan tugas mereka dan menjalankan siasatan mereka dengan teliti,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE