GEORGETOWN: Seorang ‘otai’ dadah tempatan berusia 54 tahun yang memiliki kepakaran memasak dadah jenis heroin ditahan dalam serbuan di Permatang Nibong, Bukit Mertajam, dekat sini, Rabu lalu.
Selain otai dadah itu yang bergerak aktif sejak 1995, polis turut menahan isteri suspek berusia 30 tahun serta satu lagi pasangan suami isteri berusia 50 dan 40 tahun dipercayai terlibat dengan sindiket memproses dan mengedar dadah jenis heroin serta ganja.
Dalam operasi berkenaan, polis merampas dadah jenis heroin, ganja dan peralatan memasak dadah dianggarkan bernilai RM126,840 serta menyita sebuah kereta jenis Honda Civic.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Pulau Pinang, Asisten Komisioner Mustafa Kamal Gani Abdullah berkata, penangkapan otai dadah berkenaan membongkar sebuah makmal haram di sebuah rumah inap desa di Kulim, Kedah yang menjadi lokasi memproses dadah jenis heroin.
“Polis melancarkan lima serbuan di kawasan Seberang Perai Tengah, Timur Laut dan daerah Kulim, Kedah pada Selasa dan Rabu lalu seterusnya menahan empat suspek terdiri daripada dua pasangan suami isteri.
“Serbuan pertama dibuat Selasa lalu di sebuah rumah di Bukit Mertajam yang mana polis menahan pasangan suami isteri berusia 50 dan 40 tahun kerana disyaki terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah jenis ganja serta heroin,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis (IPK) Pulau Pinang, di sini hari ini.
Menurut beliau, hasil soal siasat ke atas kedua-dua suspek, polis membuat serbuan kedua di sebuah kenderaan yang diletakkan di rumah keluarga suspek wanita di Air Itam, dekat sini.
“Wanita berkenaan tinggal bersama keluarganya dan di dalam kenderaan jenis Honda Civic ini, polis menjumpai lima ketulan dadah ganja seberat 5.02 kilogram (kg) bernilai RM12,550 serta dua paket lutsinar dadah heroin seberat 0.114 kg bernilai RM3,990,” katanya.
Tambahnya, susulan penangkapan pasangan suami isteri itu, polis membuat serbuan pukul 8 pagi, Rabu lalu di tepi jalan di Permatang Nibong dan menahan otai dadah serta isterinya berusia 30 tahun.
“Polis menjumpai 13 bungkusan dadah jenis heroin dengan anggaran berat 5,245.9 gram yang dianggarkan bernilai RM70,300 di dalam kenderaan suspek.
“Susulan tangkapan ini, polis menyerbu sebuah inap desa yang disewa di Kulim pada hari sama kira-kira pukul 3 petang dan membongkar makmal haram memproses heroin didalangi otai dadah berkenaan,” katanya.
Tambahnya, otai dadah itu memperoleh bekalan dadah Sungai Petani, Kedah dan bertindak sebagai tukang masak heroin di makmal haram.
Katanya, di makmal haram itu polis merampas satu ketulan mampat heroin base (375 gram); satu peket heroin seberat 60 gram, 12,000 gram serbuk kafein, sebotol cecair klorofom dan peralatan memproses dadah.
“Hasil siasatan mendapati suspek yang mempunyai rekod jenayah lampau sejak 1995 membabitkan dadah menyerahkan heroin ini kepada suspek pertama untuk diedarkan di pasaran tempatan.
“Kita mendapati otai dadah ini kembali aktif sejak Jun lalu dan menurunkan ilmu memproses dadah yang dipelajari sejak puluhan tahun lalu kepada beberapa ‘anak muridnya’.
“Kita sedang mengesan mereka yang menjadi ‘anak murid’ kepada suspek ini dan jumlah dadah yang dirampas dalam operasi ini boleh digunakan seramai 64,139 penagih,” katanya.
Katanya, hasil ujian saringan air kencing ke atas suspek mendapati tiga daripadanya positif dadah dan kesemua suspek ditahan reman selama tujuh hari sehingga 24 November untuk membantu siasatan. – UTUSAN ONLINE