MELAKA : Cadangan pelantikan lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) tambahan menerusi pindaan Perlembagaan Negeri antara kandungan manifesto Barisan Nasional (BN) yang diumumkan hari ini.
Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hassan merangkap Pengarah PRN Melaka berkata, langkah itu sekali gus membolehkan pelantikan ADUN dalam kalangan belia dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan ia menggambarkan kesediaan kerajaan BN untuk mendengar suara semua pihak.
“BN kena menang dua pertiga, barulah boleh meminda Perlembagaan untuk melaksanakan cadangan ini,” katanya dalam ucapan pelancaran manifesto BN hari ini.
Terdahulu, Mohamad berkata, usaha mengatasi masalah banjir antara kandungan manifesto BN ‘Melaka Lima Tahun’ bersempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang mengariskan satu matlamat di samping lima teras dan 103 inisiatif.
Katanya, lima inisiatif tersebut adalah mengekalkan kestabilan politik dalam agenda politik matang, merealisasikan ekonomi baharu, kominted meningkat tadbir urus kerajaan, memelihara keharmonian bersatu padu dan agenda untuk menjayakan pembangunan mapan.
“Kita tidak beri janji manis kepada rakyat, namun manifesto ini kita percaya mampu dilaksanakan kerana ia bersifat realistik.
“Manifesto ini berpijak kepada bumi nyata, berpijak kepada keperluan rakyat. Hal ini kerana BN mempunyai pengalaman luas, rekod pencapaian cemerlang.
“Maka perjuangan kami berpaksikan kestabilan politik dan komited untuk meneruskan agenda negeri untuk kesenangan rakyat,” katanya. – UTUSAN ONLINE