“GILA. Muda belia lengkap anggota semua!” bentak Manisah sambil mengancing gigi menahan geram teramat. Matanya menikam tepat wajah-wajah tertera pada skrin telefon pintar yang bersambung rangkaian dengan CCTVnya, seperti ingin dicincangnya semua yang terkutuk itu.
Rasakan. Biarlah lelaki-lelaki yang mempamerkan wajah bagaikan tanpa dosa itu, tular dalam media sosial. Mungkin itu saja pengajarannya. Apa mereka ingat tenaga dan wang ringgitnya semua percuma? Dadanya membara, seperti derasnya bunyi dengungan tentera itama yang diusik sarang mereka. Manisah mendengus sambil menekan butang ‘siar’ pada media muka bukunya sambil menahan gigil rasa geram bukan kepalang.
Betapa tidak, sebanyak 30 unit haif, iaitu ‘sarang’ kediaman lebah kecil tidak bersengat atau kelulut spesies trigona itama dan trigona therocica itu hilang. Lenyap sekelip mata. Padahal, setiap haif spesies itama yang bersarang pada bongkah batang kayu sebesar saiz pemeluk orang dewasa itu bernilai RM350 manakala haif si thorasica berbadan lebih gadang itu pula bernilai RM700 bagi sebuah log. Kiralah sendiri berapa kerugian ditanggungnya!
Huh. Haif kelulut bukan sekadar log! Ia koloni. Sebuah istana bagi makhluk lebah kecil itu. Mereka tahu itu?
Dadanya berombak, sebak. Di mindanya jelas tertayang akan kawanan trigona terbang libang-libu seperti kelkatu ditimpa hujan. Selamatkah kamu? Wahai para drone, ratu-ratu kamu bagaimana? Tentu kalian seperti aku, bingung tertanya-tanya bencana apakah yang sedang meragut keharmonian. Gambaran wajah lelaki durjana tanpa secalit rasa berdosa itu datang silih-berganti di ruang matanya; meragut-punggah-musnahkan meliponininya. Kejam, keji sekali mereka itu!
Abang Yusufff…!
Rintih Manisah kesayuan. Mata Manisah melilau-lilau mencari talian hayatnya, akan kekasih hatinya, seperti lazimnya apabila direntap galau begitu. Kebiasaannya, Abang Yusuf lebih cepat menghidu bahaya daripadanya.
‘Abang Yusuf, maafkan isterimu ini kerana tak berdaya menjaga kesayanganmu.’ Air mata jernihnya melaju membasahi pipi. Sungguh dia kesal. Dia, Duan iaitu adik Abang Yusuf merangkap pembantunya bermalam di rumah ibu mertuanya bersama anak-anak atas urusan tanah keluarga mereka di pinggir bandar Kota Bharu. Aneh sekali, mengapakah segala kekalutan itu berlaku serentak?
Kalaulah Abang Yusuf masih ada, tentu penjarah itu akan dikejar oleh suaminya itu sampai ke hujung dunia. Tanah pusaka dan teratak yang didiami oleh mereka anak-beranak, dan dihiasi tumbuhan eksotik yang sedia menegak itu semua kesayangan Abang Yusuf. Terkenang dia akan datuk kepada Abang Yusuf yang rajin menyulam tanah keramat itu dengan pelbagai buah kayu. Tanah bak hutan simpan itu bagaikan syurga dunia kerana landskapnya juga dilengkapi paya bakau. Dan, air lumpur penuh nutrisi itu menjadi habitat hidupan akuatik seperti lokan, belanak. Pada waktu malam pula kunang-kunang menari mengikut irama hutan simpan, dengan tempo menenang sukma. Sesiapa yang pernah ke situ pasti terpegun dengan khazanah alam yang tak ternilaikan itu.
Masih segar dalam ingatannya, detik-detik perkenalan dengan bangsa trigona yang telah menjadi sebahagian daripada hidup mereka sekeluarga kira-kira 10 tahun lepas.
“Semasa abang kecil dulu, abang selalu ikut ayah ke sini. Ayah cari buah-buah hutan, Beluru, damar,” kata suaminya Yusuf, sambil memerhati kawasan hutan kecil di sekeliling mereka pada satu petang yang damai cuacanya. Seperti tutor persendirian, Abang Yusuf mengajarnya pelbagai perkara. Ilmu flora, ilmu fauna yang sudah sinonim dengannya si arkitek landskap. Kemudian, Abang Yusuf bangkit sambil melangkah berhati-hati. Manisah juga bangkit dan membuntuti suaminya itu.
“Manis, cuba kamu lihat batang rambutan ini.” Mata suaminya bersinar-sinar sekali. Tangan Abang Yusuf begitu cekap mengumpil rekahan pada batang pokok rambutan yang matang itu. Manisah terlihat kawanan serangga berterbangan bebas di situ. Penyengat? Dia mengerut kening.
“Manis, cuba rasa ini,” seru Abang Yusuf sambil menyuakan sepotong ranting halus yang diselaputi pekatan berwarna emas jernih yang dicoleknya daripada rekahan tadi. Manisah memejamkan mata setelah beberapa titis likatan keemasan itu menyapa lidahnya.
“Uih…masam!” Yusuf menghulur ranting halus yang lain pula. Dia yang berhidung mancung dan bermulut kecil, mengerut kening.
“Eh…manis pula!” Manisah mencelikkan matanya, memandang Abang Yusuf yang tertawa kecil melihatkan aksinya.
“Madu kelulutlah sayang,” sela sang suami tercinta.
“Madu kelulut?” Soal Manisah. Aneh, fikirnya. Dalam satu dulang madunya, terdapat pelbagai rasa.
Realitinya sekoloni kelulut pekerja, akan bertebaran ke pelbagai rumpun; mencicip nektar bunga-bungaan, juga daripada pokok buah-buahan, atau bunga-bunga herba. Itulah sebabnya berlaku variasi rasa dalam setalam madu kelulut, jelas ‘bapa guru’nya itu.
Menjadi anak yatim piatu sejak kecil, membesar di rumah kebajikan, banyak perkara yang dia tidak tahu. Terhanguk-hanguk dia mendengarkan penjelasan Abang Yusuf tentang kehebatan kelulut yang pertama kali didengarnya.
“Kita bina rumah di sini, kemudian kita buat taman, ladang. Esok, anak-anak boleh usahakan tanah ini,” ujarnya penuh teruja, sambil membelai perut isterinya. Bakal anak sulung mereka. Sambil menjelingnya, Yusuf menyatakan impiannya sejak remaja ingin mempunyai ladang agro. Ada chalet, ada taman, ada tempat rekreasi.
Manisah tertawa kecil. Dia tahu benar, suaminya itu jika mengatakan sesuatu, maka dia akan sedaya upaya mengotakannya. Lantas, daripada hasil jimat cermat suaminya sejak di bangku sekolah, dia berjaya membeli 70 log kelulut secara beransur-ansur.
Hasil jualan produk kelulut iaitu madu, propolis, ‘roti lebah’, bee pollen ditambah dengan modal yang dipinjam daripada bapa suaminya, mereka sudah dapat memiliki 2 unit chalet. Terbukti kini, lelaki berjiwa besar itu berjaya menukar statusnya daripada anak yatim-piatu si penjual nasi kerabu kepada penolong pengarah Wadi Honey itu.
Manisah mengelap air jernih yang membasahi pipinya. Dia menyoroti suasana persekitaran tanah yang merupakan tapak cinta dua jiwa. Benih cinta yang disemai menumbuhkan pepohonan berbunga meriah. Mereka di lembah Kubang Kerian itu hidup bekerjasama bagaikan seunit haif yang besar. Kesemuanya bagaikan pahlawan bersayap, terbang lincah, riang dan bijak.
Yang pada waktu siangnya masing-masing terbang dari sekuntum bunga ke sekuntum bunga mengumpul nektar, debunga, sarat pada sepasang kaki belakang. Dan waktu senja pula berkumpul di haif, membersih, merancang strategi, dan bercanda. Namun, sekarang, hasil titik peluh mereka, diancam.
‘Jahat sungguh kamu penjarah. Aku dan Abang Yusuf bergadai nyawa memakmurkan tanah ini,’ gerutu hatinya.
Manisah memandang langit petang. Masih jelas dalam ingatannya akan peristiwa berlaku empat tahun lepas. Bulannya, Disember, yang sinonim dengan penduduk negeri Cik Siti Wan Kembang akan menerima curahan air hujan yang melimpah. Tergetus rasa gusar di benaknya memandangkan anak ketiga dalam rahimnya yang sudah sampai ke zon hari-hari terakhir untuk menjenguk dunia.
“Ayah, ibu, tolong hantarkan Manisah ke hospital kalau sudah sampai masanya ya. Hujan terlalu lebat, angin bertiup kencang dan air sungai sudah naik. Saya dan Duan nak alihkan sarang-sarang kelulut ke balkoni.” Pinta Abang Yusuf.
Dengan tidak semena-mena, suaminya itu memeluk ayah dan ibunya lama sekali. Menghairankan, namun pandangan Manisah tidak lepas daripada memerhatikan gelagat anak-anaknya Noah dan Malina, yang tidak duduk diam. Sesekali kedengaran dentuman guruh mengiringi simbahan hujan lebat menimpa atap rumah mertuanya itu.
“Manis, jaga diri dan anak-anak baik-baik. Apa-apa pun berlaku, kamu mesti kuat. Abang sayang kamu…!”
Manisah sempat termangu dengan keanehan sikap suaminya itu. Kemudian, dia membiarkan sahaja Yusuf memaut tubuhnya kemas-kemas, seperti memberikan pelukan terakhir. Dapat dirasainya ritma degupan jantung kekasih hatinya itu begitu aneh. Tetapi dia cuba nyahkan rasa resah sambil berdoa agar suaminya akan pulang ke sisinya segera.
Musim tengkujuh pada tahun itu sungguh luar biasa dirasakannya. Langit bagaikan seluruhnya bocor, memuntah hujan semahu-mahunya. Dan air daripada bumi membuak-buak bagai dipam-pam.
Manisah memejam mata. Memori pahit itu terasa masih baharu terjadi. Angin Disember yang menerjah kulitnya, lambakan air yang seperti bongkah ais menghempap dirinya, dan kehilangan teman hidup yang selama ini memayungi hidupnya, betul-betul membuatnya bingung.
Dan dia sendiri ketika itu pasrah jika dia boleh hanyut dibawa arus deras bersama-sama Abang Yusuf. Dia membiarkan air matanya membasahi pipi, sederas hujan musim tengkujuh.
Malam, atau siang, semua tiada erti. Dia ketika itu seperti buta, pekak dan hilang segala deria. ‘Abang Yusufff…’ Rintih hatinya entah ke berapa juta kali.
********
Hari itu dia terpaksa meminta bantuan Yati isteri Duan untuk menguruskan anak-anaknya ke sekolah dan tadika. Dia dan Duan telah ke Balai Polis Kubang Kerian pagi tadi untuk membuat laporan.
Kelihatan kereta pacuan empat roda yang sering digunakan keluarga mereka perlahan-lahan memarkir di pekarangan pejabat Wadi Honey. Pintu kereta dikuak cepat. Anak sulungnya Malina, diikuti adiknya Noah dan Hud berkejaran ke arah taman yang menempatkan sebahagian haif kelulut.
Tentu Yati sudah memaklumkan kepada mereka akan kejadian menimpa menyebabkan muka masing-masing kecewa. Kemudian, mereka melilau-lilau ke tepi paya, ke belakang chalet juga pokok kayu pula.
“Ibu, sini!” jerit Malina tiba-tiba. Manisah yang sedang mengemas kesan selerak, bersegera ke tempat anak-anaknya itu. Mereka sedang menghadap sebuah ‘topping’ log kelulut yang terselamat dan sudah dibuka plastik penutupnya. Di tangan Hud ada penyedut minuman.
Sempat pula si Hud kecil menyarung topi berjaring dan baju mencegah daripada diserang itama. Di hadapannya terhidang ‘setalam kantung madu’ yang penuh madunya. Kuning keemasan. Hud menyedutnya sambil diperhatikan kakak dan abangnya.
“Manislah ibu,” katanya tersengih-sengih sambil menjilat madu meleleh pada dagunya. Malina dan Noah tertawa melihat gelagat adik bongsu mereka. Hud yang wajahnya mirip Yusuf segera mengingatkan dia akan suaminya. Dia menyeka air matanya yang sudah tabrak.
‘Alhamdulillah, syukur ya Allah! Engkau hanya mengambil satu daripadaku, tapi Engkau bukan saja kurniakan aku ‘syurga’ bahkan bidadari-bidadarinya juga. Sebuah syurga yang mengalir sungai madu nan manis dengan bidadari-bidadari berbaju sulaman cinta.
‘Manis akan terus majukan tempat ini, abang. Impian abang, impian Manis dan anak-anak juga. Damailah engkau di sana, dalam rahmat dan kasih sayang-Nya’. – Mingguan Malaysia