PUTRAJAYA: Program Kesihatan Pergigian Kementerian Kesihatan (PKP KKM) mengambil pelbagai langkah dalam usaha mengurangkan pengunaan amalgam pergigian selaras dengan saranan oleh FDI World Dental Federation.
Pengarah Kanan (Kesihatan Pergigian) KKM, Dr. Noormi Othman berkata, penggunaan amalgam pergigian disasarkan untuk dikurangkan kepada 15 peratus menjelang tahun 2020, manakala ia berjaya dicapai pada 2019 apabila penggunaannya di fasiliti KKM di seluruh negara hanya 9.91 peratus.
Menurutnya, Position Statement on the Use of Dental Amalgam 2020 yang diterbitkan oleh Majlis Pergigian Malaysia menyokong penggunaan bahan tampalan alternatif kepada amalgam pergigian.
“Ini terutamanya bagi golongan kanak-kanak, ibu mengandung, ibu menyusukan anak dan pesakit yang mempunyai masalah kesihatan seperti masalah buah pinggang serta alahan terhadap amalgam.
“Justeru, PKP KKM akan terus bekerjasama dengan pihak berkepentingan lain dalam mengurangkan atau seboleh-bolehnya mengelakkan penggunaan amalgam pergigian melainkan didapati perlu berdasarkan keperluan khusus yang terbaik bagi pesakit,” katanya dalam satu kenyataan akhbar di sini hari ini.
Beliau berkata, antara langkah dalam usaha mengurangkan penggunaan amalgam ialah memperkukuh strategi pencegahan dan promosi kesihatan pergigian dengan memberi penekanan kepada pengesanan dan pencegahan lesi karies awal sekali gus tampalan pergigian dapat dikurangkan.
“Selain itu, bekerjasama dengan semua pihak berkepentingan yang berkaitan (Angkatan Tentera Malaysia, universiti, pengamal swasta dan pembekal bahan pergigian) dalam membangunkan strategi mampan bagi fasa pengurangan penggunaan amalgam pergigian dan memastikan akses kepada bahan pergigian alternatif pada harga berpatutan.
“Usaha lain ialah penyelidikan berkaitan penggunaan bahan tampalan pergigian bebas merkuri yang selamat, berkesan dan berkualiti serta mengehadkan penggunaan amalgam pergigian kepada amalgam berkapsul dan pemasangan perangkap dan penapis amalgam selaras dengan amalan pengurusan persekitaran terbaik untuk sisa amalgam,” ujarnya.
Mengulas lanjut, Dr. Noormi berkata, karies gigi merupakan masalah kesihatan awam utama di peringkat global, termasuk di Malaysia dan antara rawatan yang kerap diberikan adalah rawatan tampalan pergigian dengan salah satu bahan tampalan yang digunakan ialah amalgam pergigian.
“Bahan tampalan ini digunakan sejak 150 tahun lalu memandangkan ia mempunyai ciri-ciri kekuatan, ketahanan dan kualiti pengendalian yang baik,” katanya.
Tambah beliau, Konvensyen Minamata mengenai merkuri adalah perjanjian peringkat antarabangsa untuk melindungi kesihatan dan alam sekitar daripada kesan sampingan merkuri.
Katanya, Malaysia telah menandatangani perjanjian ini sejak tahun 2014, namun masih belum menjadi ahli kepada konvensyen tersebut. -UTUSAN ONLINE