Kes saman fitnah Guan Eng, Chang Yeow selesai - Utusan Malaysia

Kes saman fitnah Guan Eng, Chang Yeow selesai

LIM GUAN ENG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kes saman fitnah membabitkan bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng terhadap bekas Pengerusi Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang, Teng Chang Yeow berhubung isu Pulau Jerejak dikembalikan ke Mahkamah Tinggi Pulau Pinang.

Ia selepas peguam, Datuk N. Mureli memaklumkan, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai Datuk Seri Kamaludin Md. Said dan bersidang bersama Datuk Supang Lian dan Datuk Seri Mariana Yahya, bahawa kedua-dua pihak telah berjaya mencapai persetujuan untuk kes itu diselesaikan.

“Kami (perayu dan responden) telah merangka draf perintah persetujuan dan secara dasarnya, bersetuju agar perkara ini dikembalikan semula ke Mahkamah Tinggi. Oleh itu, rayuan ini perlu dibenarkan dan perintah Mahkamah Tinggi sebelum ini diketepikan,” kata peguam itu.

Sementara itu, peguam Datuk Harpal Singh Grewal yang mewakili Chang Yeow turut mengesahkan perkara tersebut pada prosiding yang dijalankan secara dalam talian.

“Rayuan ini perlu dibenarakan memandangkan kedua-dua pihak telah bersetuju dan tambahan pula terdapat keputusan Mahkamah Persekutuan yang menyentuh mengenai isu locus standi (hak di sisi undang-undang) yang menjadi subjek utama rayuan ini yang diputuskan selepas rayuan ini difailkan,” kata Harpal.

Pada 29 Jun 2019, Mahkamah Tinggi Pulau Pinang membatalkan saman Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan atas alasan bekas Menteri Kewangan itu tidak mempunyai locus untuk menyaman mana-mana pihak atas kapasiti rasminya.

Hakim Kamaludin kemudian mengetepikan keputusan mahkamah terdahulu dan memerintahkan aga kes dikembalikan ke Mahkamah Tinggi Pulau Pinang untuk prosiding seterusnya.

“Terdapat asas dalam rayuan yang dikemukakan ekoran keputusan Mahkamah Persekutuan yang antara lainnya menyatakan individu yang memegang jawatan rasmi boleh memfailkan saman terhadap mana-mana pihak. Rentetan itu, kedua-dua pihak telah bersetuju untuk merekodkan perintah persetujuan sebagaimana draf yang telah ditunjukkan ke mahkamah ini.

“Oleh itu, kes dikembalikan dan terma-terma penyelesaian akan direkodkan di Mahkamah Tinggi,” katanya. Kes itu akan disebut di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang pada 22 November ini.

Mahkamah Rayuan turut merekodkan persetujuan responden (Chang Yeow) untuk membayar kos sebanyak RM75,000 kepada Guan Eng.

Pada April 2017, Guan Eng mengemukakan saman ke atas Chang Yeow bersama Pengarang Berita Star Media Group, David Tan dan wartawan, Crystal Chiam Shiying, sebagai defendan kes.

Dalam tuntutannya, Guan Eng mendakwa Chang Yeow membenarkan dan atau menyebabkan kenyataan palsu ditulis dan diterbitkan di akhbar atau di laman web.

Guan mendakwa laporan berita bertajuk ‘Pulau Jerejak land sale questioned’ diterbitkan pada 16 November 2016 mengandungi kenyataan fitnah dan tidak benar, mengaitkan beliau dalam isu berkenaan. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN