Kerani jana pendapatan RM15,000 hasil tanaman cendawan

Kerani jana pendapatan RM15,000 hasil tanaman cendawan

AZIAN Jahani menunjukkan bongkah cendawan yang diusahakan di Kampung Baru Teluk Ramunia, Pengerang, Johor. - FOTO/MASTURAH SURADI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA TINGGI: Seorang kerani membuktikan kesungguhan terhadap sesuatu perkara akan membawa pulangan baik apabila mampu menjana sehingga RM15,000 selepas mengusahakan tanaman bongkah cendawan yang dilaksanakan sejak tiga tahun lalu.

Azian Jahani, 35, berkata, pendapatan itu diraihnya hanya untuk tempoh semusim iaitu selama enam bulan.

Katanya, dia mengusahakan tanaman itu bermula dengan hanya 60 bongkah cendawan sebelum meningkatkan kepada 500 bongkah lagi dan kemudian menjadi 1,000 bongkah tanaman itu.

“Saya memulakan tanaman cendawan ini kerana anak saya amat gemar makan cendawan jadi ketika itu saya terus cuba-cuba dahulu.

“Selepas mengusahakan 60 bongkah saya dapati cendawan ini amat mudah diuruskan dan tidak banyak karenah seperti tanaman lain yang perlu penjagaan rapi dengan baja dan sebagainya.

“Setiap pagi sebelum masuk ke pejabat saya akan menjengah dahulu rumah cendawan untuk sejukkan bongkah dengan siraman air kemudian tinggalkan sahaja,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di kediamannya di Kampung Baru Teluk Ramunia, Pengerang, di sini.

Azian berkata, rumah cendawan yang dibina atas bantuan suami, Mohd. Syahher Redzha Malik, 35, bukan sahaja memberinya pendapatan tambahan tetapi menjadi tempat ‘terapi’ bagi dirinya selepas penat lelah bekerja.

Ibu kepada tiga orang anak itu turut memaklumkan bagi setiap bongkah mampu menghasilkan sehingga seberat satu kilogram cendawan.

Katanya bagi harga pasaran cendawan yang diperolehi pula dijual sekitar RM13 hingga RM15 sekilogram.

Selain menjual secara dalam talian, Azian turut menghantar hasil cendawannya itu di Pusat Pengumpulan Hasil Pertanian (PPHP) Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Pengerang. 

“Alhamdulillah walaupun hanya sambilan hasilnya agak lumayan dan setiap kali buka tempahan pasti ramai yang mahu.

“Selain mengeluarkan modal sendiri, saya turut dibantu pihak PPK Pengerang menerima bantuan bongkah cendawan dibawah Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE). Daripada mengusahakan di kawasan laman rumah kini saya juga telah membuat sebuah rumah cendawan yang boleh memuatkan sehingga 2,000 bongkah dalam satu masa,” katanya.

Jelasnya usaha dilakukan itu juga turut berjaya mengambil perhatian pihak jabatan pertanian daerah apabila dia kini dalam proses untuk menerima sijil bagi Program Skim Amalan Pertanian Baik Malaysia (MyGAP). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya