SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 3 Disember depan bagi memberikan keputusan di akhir peringkat pendakwaan terhadap seorang pembantu rumah warga Indonesia yang didakwa membunuh anaknya yang baru dilahirkan di sebuah rumah, Ogos dua tahun lalu.
Keputusan yang akan dibuat Hakim Datuk Mohd. Yazid Mustafa itu bakal menentukan sama ada tertuduh, Welmince Alunat, 40, akan dipanggil untuk membela diri atau dilepaskan daripada tuduhan tersebut.
Terdahulu, Mohd. Yazid mendengar hujahan yang dikemukakan pihak pendakwaan menerusi Timbalan Pendakwa Raya,Wan Ariff Muzammil Wan Mohamed dan juga hujahan balas oleh peguam, S. Selvi, yang mewakili tertuduh.
Wan Ariff menghujahkan pihaknya telah membuktikan prima facie yang perlu dijawab oleh Welmince Alunat, yang merupakan ibu bayi tersebut.
Merujuk kepada keterangan Ketua Unit Forensik Hospital Ampang, Dr. Kamaruzaman Abd. Karim sebagai saksi pendakwaan kesembilan (SP9), Wan Ariff menghujahkan, terdapat compression mark pada bahagian muka sebelah kiri mangsa.
Hujahnya, tanda tersebut tidak akan sebesar itu kalau mangsa diletakkan begitu sahaja tetapi ia berlaku akibat kepalanya diperonyok atau ditekan.
“Di dalam keterangannya juga SP9 menjelaskan, apabila darah berkumpul pada bahagian bawah (dalam keadaan posisi kepala di bawah di dalam baldi dan kaki berada ke atas) akan menyebabkan bayi tersebut sesak nafas dan pengaliran darah tersekat,” katanya.
Welmince Alunat didakwa membunuh bayinya yang baru dilahirkan di dalam bilik mencuci dan menjemur pakaian, di Jalan Cempaka, Taman Cempaka, Ampang pada pukul 7 pagi, 22 Ogos 2019.
Dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.
Seramai 17 saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan.
Akhbar sebelum ini melaporkan, kejadian berlaku ketika wanita warga Indonesia yang bekerja sebagai pembantu rumah itu melahirkan bayi berkenaan di rumah majikannya.
Difahamkan, selepas melahirkan bayi itu, tertuduh kemudian memijak anaknya sebelum mangsa dimasukkan ke dalam baldi dengan keadaan kepalanya di bawah dan kaki di atas.
Wanita itu dikatakan bertindak demikian bagi menyembunyikan kelahiran bayi berkenaan daripada pengetahuan majikannya.