Keputusan kes rogol bekas Exco Perak 7 Disember - Utusan Malaysia

Keputusan kes rogol bekas Exco Perak 7 Disember

PAUL Yong Choo Kiong (kiri) tiba di Mahkamah Tinggi Ipoh hari ini bagi menghadapi tuduhan kes rogol pembantu rumah warga Indonesia.  – UTUSAN/ZULFACHRI ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Keputusan sama ada bekas Exco Perak, Paul Yong Choo Kiong perlu membela diri atau dibebaskan daripada tuduhan rogol pembantu rumah warga Indonesia diketahui 7 Disember ini.

Hakim Datuk Abdul Wahab Mohamed menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujahan Pengarah Pendakwaan Negeri Perak, Azlina Rasdi serta peguam Datuk Rajpal Singh dan Salim Bashir di akhir kes pendakwaan.

Hakim berkenaan memaklumkan beliau memerlukan masa untuk menyemak dokumen berkaitan termasuk hujahan kedua-dua pihak.

“Saya perlukan masa untuk semak dokumen, nota, bukti dan hujahan bertulis kedua-dua pihak sebelum membuat sebarang keputusan,” katanya. 

Terdahulu, Rajpal berkata, keterangan pihak pendakwaan adalah berdasarkan keterangan mangsa di mahkamah yang menyatakan Choo Kiong merogolnya dan laporan perubatan yang menyatakan koyakan baharu pada selaput dara.

Bagaimanapun, katanya, berdasarkan keterangan doktor, koyakan itu boleh berlaku sama ada secara paksa atau disebabkan oleh kemasukan objek atau organ tumpul seperti zakar, jari atau objek tumpul lain.

“Selain daripada bukti-bukti ini, mangsa juga memberitahu orang lain tentang kejadian rogol tetapi tidak ada bukti untuk menyokong fakta itu.

“Tidak ada bukti forensik atau ujian asid deoksiribonukleik (DNA) atau semen ke atas mangsa, walaupun mangsa dipercayai tidak mandi atau menukar baju selepas kejadian rogol itu berlaku,” katanya.

Tambah Rajpal, motif sebenar mangsa menuduh majikannya merogol adalah kerana dia mahu pulang ke Indonesia selain kemungkinan juga konspirasi politik. 

“Mangsa cenderung untuk mereka-reka cerita kerana pada mula beliau datang ke negara ini, mangsa mendakwa dia muntah darah tetapi doktor yang merawat mangsa berkata perkara itu tidak berlaku,” katanya. – UTUSAN ONLINE 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN