Kebenaran semakan kehakiman Adly diketahui Rabu - Utusan Malaysia

Kebenaran semakan kehakiman Adly diketahui Rabu

ADLY Zahari
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Melaka, Adly Zahari akan mengetahui pada Rabu ini sama ada beliau dibenar oleh Mahkamah Tinggi untuk mencabar keabsahan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka dalam usaha membatalkan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka serta-merta.

Hakim Datuk Noorin Badaruddin menetapkan tarikh itu selepas mendengar penghujahan peguam Razlan Hadri Zulkifli yang mewakili pemohon dan Peguam Kanan Persekutuan S. Narkunavathy yang mewakili responden-responden.

Adly, 50, selaku pemohon memfailkan semakan kehakiman dengan menamakan Ketua Menteri Melaka (caretaker), Datuk Seri Sulaiman Md. Ali dan Speaker DUN Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusof sebagai responden pertama dan kedua.

Sementara responden ketiga dan keempat ialah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd. Ali Rustam.

Terdahulu, Narkunavathy ketika mengemukakan bantahan awal berhujah, pembubaran DUN Melaka tidak boleh dipertikaikan di mahkamah kerana kuasa itu merupakan hak negeri tersebut.

Hujah beliau, nasihat dan keputusan untuk membubarkan DUN adalah sebahagian daripada proses yang membawa kepada perisytiharan pembubaran dan ia dilindungi daripada pertikaian mahkamah.

Sementara itu, Razlan Hadri berhujah, anak guamnya mempunyai hak di sisi undang-undang (locus standi) kerana pembubaran DUN menyebabkan beliau terjejas teruk ekoran kehilangan kerusi Bukit Katil.

Dalam permohonan semakan kehakiman itu, Adly menuntut perisytiharan bahawa nasihat responden pertama (Sulaiman) terhadap responden keempat (Mohd. Ali) pada atau sekitar 4 Oktober lalu untuk membubarkan DUN Melaka ke-14, berniat jahat (mala fide).

Beliau memberi alasan, ini kerana responden pertama ketika itu tidak lagi mempunyai sokongan besar ahli DUN Melaka.

Selain itu, Adly turut menyatakan, responden pertama bertindak secara tidak munasabah dengan menasihati responden keempat membubarkan DUN Melaka dalam keadaan pandemik atau endemik Covid-19 yang sedang berlaku.

Beliau yang juga bekas Ketua Menteri Melaka turut memohon perintah agar writ dan notis yang dikeluarkan responden ketiga (SPR) untuk mengadakan PRN negeri pada 20 November ini, dibatalkan serta-merta.

Adly juga memohon perisytiharan bahawa proklamasi responden keempat mengenai pembubaran DUN dan diterbitkan dalam Warta Kerajaan Melaka bertarikh 5 Oktober lalu tidak sah kerana nasihat itu dibuat ketika Sulaiman tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti ahli DUN Melaka. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN