Johor sokong bincang semula projek HSR - Utusan Malaysia

Johor sokong bincang semula projek HSR

HASNI Mohammad melawat ruang pameran yang disediakan semasa menghadiri Majlis Serahan Sumbangan Kepada Persatuan Cerebral Palsy Johor, di Johor Bahru. -UTUSAN/KHAIRUL MOHD ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Cadangan menghidupkan semula perbincangan mengenai projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura yang diputus ditamatkan sebelum ini disambut baik kerajaan Johor.

Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad berkata, Johor  menyokong semua langkah dan usaha yang menyentuh tentang pembangunan HSR tanpa mengira sama ada stesen terakhir berhenti di Johor atau sehingga ke Singapura.

Menurut beliau, reaksi Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong terhadap projek berkenaan juga memberi bayangan kemungkinan projek itu turut melibatkan negara tersebut.

“Oleh kerana cadangan pembangunan HSR dahulu telah dibatalkan, jadi perbincangan itu perlu bermula dari awal semula, bukan lihat semula perjanjian lama atau buat sebarang pindaan, sebaliknya ia adalah satu perjanjian baharu sama sekali.

“Johor akan mengambil sepenuh peluang yang ada apabila HSR dibangunkan di mana pembangunan di sepanjang jajaran itu saya yakin akan beri manfaat kepada rakyat dan juga pembangunan ekonomi negeri,” kata beliau menghadiri Majlis Serahan Sumbangan kepada Persatuan Cerebral Palsy Johor, di sini hari ini.

Semalam, Hsien Loong berkata, republik itu terbuka menerima cadangan baharu Malaysia berkaitan projek HSR Kuala Lumpur-Singapura walaupun kedua-dua negara itu sebelum ini  bersetuju menamatkan projek tersebut.

Beliau berkata, Kementerian Pengangkutan dari kedua-dua negara akan membincangkan perkara tersebut dan Singapura berharap menerima butiran lebih terperinci dari Malaysia.

Pada 1 Januari lalu, Malaysia dan Singapura mengumumkan secara bersama penamatan projek HSR apabila kedua-dua negara gagal mencapai persetujuan bagi perubahan yang dicadangkan Malaysia sebelum perjanjian projek itu luput pada 31 Disember 2020.

Dua bulan kemudian, Malaysia mengumumkan membayar pampasan RM320,270519.24 kepada Singapura bagi kos yang ditanggung untuk pembangunan projek HSR dan berkaitan dengan pelanjutan penangguhannya.

Sementara itu, inisiatif Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL), Hasni berkata, kejayaan hari pertama diharap dapat dijadikan panduan untuk pembukaan lebih banyak kategori pengembara antara Malaysia dan Singapura.

Katanya, antara impak positif  pembukaan VTL khususnya sektor darat tersebut adalah kesempatan untuk mengadakan kunjungan ke republik berkenaan dan melihat komitmen kerajaan Malaysia dan Singapura untuk memastikan pembukaan sempadan kedua-dua negara berjalan lancar.

“Kita berharap kategori pengembara yang akan dibenarkan merentasi sempadan itu dapat dipertingkat bukan hanya untuk pemegang pas perjalanan jangka masa panjang atau warga kedua-dua negara pulang ke negara asal.

“Sebaliknya, ia juga perlu dipertingkat untuk membenarkan perjalanan melibatkan pertemuan antara sanak saudara dan lain-lain termasuk membenarkan rakyat kedua-dua negara menyeberang sempadan. Ini semua gambaran bahawa pembukaan sempadan itu akan dapat dipertingkatkan lagi dalam masa terdekat,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya