JERANTUT: Jeram Perahu Ulu Tembeling di sini, kembali menjadi tumpuan pemancing tegar bagi memburu raja ikan sungai iaitu kelah dan tengas sejak sempadan negeri dibuka 11 Oktober lalu.
Pandemik Covid-19 sejak dua tahun lalu yang mengehadkan aktiviti seperti memancing dan berburu memberi peluang kepada haiwan membiak dan membesar dengan baik.
Seorang pemancing, Muzaffar Syam Mohamad, 48, berkata, dia bersama enam rakannya dari Jengka dekat sini, sanggup meredah Sungai Tembeling untuk mendapatkan ikan eksotik yang menjadi kegemaran peminat ikan air tawar.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Muzaffar Syam berkata, untuk sampai ke Jeram Perahu, ia mengambil masa sehingga tiga jam setengah bergantung keadaan air sungai ketika itu.
“Lokasi memancing tumpuan adalah kawasan dipanggil kepala Jeram yang mengambil masa antara 45 minit hingga satu jam untuk sampai dengan laluan sungai berbatu dan kawasan hutan.
“Di lokasi kepala Jeram ini kami dapat memancing pelbagai jenis ikan eksotik berniai tinggi seperti kelah merah, tengas, baung kenerak dan lampam selain udang,” katanya di sini semalam.
Muzaffar Syam berkata, kehadiran mereka ke Jeram Perahu berbaloi kerana di situ masih terdapat banyak ikan yang sempat membesar dan membiak dengan sempurna dalam tempoh dua tahun pandemik Covid-19.
“Sambil dapat melihat fenomena alam semula jadi terutama ketika senja dan suasana sepi malam, kami dapat menikmati ikan eksotik sepuas-puasnya.
“Sebagai contoh harga ikan kelah menjangkau lebih RM200 sekilogram, begitu juga ikan tengas yang dianggap maharani hidupan ikan sungai yang habitatnya di celah batuan,” katanya.
Sementara itu, tekong bot, Zakaria Serahan dan rakannya Nordin Ahmad mahu Jabatan Perikanan negeri turun padang memantau mana-mana pihak yang menggunakan racun atau peralatan tidak dibenarkan menangkap ikan di situ. – UTUSAN ONLINE