PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan mendedahkan kematian Ketua Penolong Pengarah Kanan, Dr. Chai Koh Meow disahkan akibat penyakit jantung koronari dan bukan kerana vaksin dos penggalak Covid-19.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, dapatan laporan tersebut menyatakan mendiang mengalami hemopericardium akibat penyakit jantung koronari dan myocardial infarction.
“Ini adalah laporan yang kita terima dan pihak KKM sedih dengan pemergian mendiang.
“Saya berterima kasih kepada keluarga dan abang mendiang kerana membenarkan KKM memaklumkan dapatan hasil bedah siasat mendiang,” kata beliau dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Sementara itu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, dengan jawapan mengenai kematian mendiang tidak lagi menjadi bahan spekulasi untuk menghalang penerima vaksin dos penggalak.
“Apa-apa kes pun kita akan buat siasatan terperinci iaitu forensik dan bedah siasat diteliti sebelum satu ketetapan dapat dibuat malah buat masa ini tidak ada kematian yang disebabkan secara langsung daripada vaksin,” katanya.
Sebelum ini, Noor Hisham meminta semua pihak tidak membuat spekulasi mengenai kematian pegawai kanan kesihatannya pada 17 November lalu.
Koh Meow telah melengkapkan dos vaksinasi penggalak pada 9 November dan tidak melaporkan mempunyai kesan sampingan luar biasa dengan mendiang hadir bekerja seperti biasa sehingga 16 November.- UTUSAN