PUTRAJAYA: Pemberian dos penggalak Pfizer kepada penerima vaksin Sinovac akan meningkatkan keberkesanan imuniti badan individu berkenaan daripada 54 peratus kepada 95 peratus.
Dapatan tersebut daripada hasil kajian Kementerian Kesihatan Chile yang menunjukkan keberkesanannya iaitu 14 hari selepas dos penggalak diberikan.
Berdasarkan maklumat dikongsikan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin menerusi Twitter beliau, untuk dos penggalak AstraZeneca kepada penerima Sinovac, keberkesanan vaksin meningkat daripada 54 peratus kepada 94 peratus.
Selain itu, pemberian dos penggalak Sinovac kepada penerima Sinovac pula meningkatkan keberkesanan vaksin daripada 54 peratus kepada 74 peratus.
Dalam pada itu, Khairy berkata, keberkesanan vaksin Covid-19 akan menurun selepas beberapa bulan dan sebab itu Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) memberi dos penggalak.
“Pemberian dos penggalak yang berbeza daripada dos asal dilaksana di banyak negara.
“Pemberian dos penggalak adalah strategi perlindungan penting terutamanya dengan pembukaan sektor ekonomi dan sosial ketika ini,” katanya.
Mengulas lanjut, Khairy meminta individu yang menerima janji temu untuk dos penggalak untuk hadir dan menerima suntikan vaksin tersebut. – UTUSAN