MELAKA: Ahli dan penyokong Pas di Melaka diseru menzahirkan undi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka berdasarkan maqasid syariah iaitu dengan menilai kewibawaan calon dan bukannya kerana logo parti.
Timbalan Ketua Cawangan Pas Pekan Masjid Tanah, Mokhtar Razak Badri berkata, perkara itu perlu dilakukan memandangkan akar umbi Pas kini berada dalam kekeliruan berhubung status kerjasama parti itu dalam Muafakat Nasional (MN) dan Perikatan Nasional (PN).
Katanya, situasi sukar tersebut membelenggu para ahli, terutamanya di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang menyaksikan pertembungan Pas dengan UMNO atau Bersatu dengan UMNO.
“Dalam Pas hari ini ada dua golongan. Yang akan memberikan undi mengikut pendirian mereka itu. Kenapa pendirian mereka jadi begitu? Kerana kami melihat kecelaruan itu datang daripada peringkat tertinggi. Itu dari segi pendirian untuk dizahirkan dalam pangkahan di kertas undi 20 November ini.
“Sudah sampai masanya kami membuat keputusan yang muktamad dan sanggup mengambil apa sahaja tindakan daripada parti, jika dengan pendirian kami mengikut maqasid syariah. Iaitu mudarat berat dengan mudarat ringan,” katanya dalam satu sidang akhbar.
Dalam PRN Melaka, Pas bertanding di lapan kerusi menggunakan tiket PN iaitu di DUN Kuala Linggi, Taboh Naning, Durian Tunggal, Kelebang, Bukit Katil, Duyong, Serkam dan Merlimau.
Daripada lapan kerusi tersebut, Pas hanya tidak bertembung dengan UMNO di Kelebang, memandangkan Barisan Nasional (BN) meletakkan calon MCA.
Sementara itu, Mokhtar Razak yang juga Setiausaha Jentera Pilihan Raya Pas DUN Lendu menambah, mengapa pemimpin seperti calon Ketua Menteri BN, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali yang disifatkan sebagai berwibawa perlu ditolak, hanya kerana ingin memenangkan calon PN, Mejar (B) Abdullah Mahadi di kerusi tersebut?
Tegasnya lagi, beliau turut mempersoal ke manakah pimpinan Pas negeri ketika akar umbi terhimpit kesempitan hidup semasa pandemik Covid-19, tatkala kerajaan negeri yang dipimpin Sulaiman membantu meringankan beban ditanggung ahli?
“Di manakah saat rakyat dalam kepayahan sejak Covid-19 berlaku, oleh pucuk pimpinan Pas tempatan dalam membantu bersama-sama waktu itu negeri Melaka di bawah kepimpinan Sulaiman?
“Kami mengambil keputusan muktamad, kami tidak dapat membantu lagi jentera PN,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE